‘Persiapan lancar, majlis pernikahan sebelum akhir tahun ini’

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan proses persiapan pernikahan bersama tunang, Bella Astillah berjalan lancar meski jadual kerjaya sangat padat.

Syed Saddiq, 34, berkata, komitmen kerjaya masing-masing bukan kekangan untuk mereka meneruskan perancangan mendirikan rumah tangga.
Menurutnya lagi, perbincangan berkaitan persiapan sentiasa dilakukan bersama kedua-dua keluarga bagi memastikan segala keputusan yang diambil serta urusan berjalan dengan baik.
“Sama seperti proses persiapan untuk bertunang, lazimnya perkara macam ini saya berbincang dengan keluarga. Alhamdulilah semua berjalan dengan baik,
Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya mahu pastikan Bella dan keluarganya gembira. Dia merupakan tunang saya dan saya mahukan semuanya berjalan lancar, insyaAllah sebelum akhir tahun ini.
“Kita pun ada komitmen dan kerja masing-masing. Saya di Parlimen dan di kawasan saya di Muar, Bella contohnya pagi di sini, malam di Sabah dan esok pergi ke tempat lain tapi di sebalik jadual yang padat, kami tetap meneruskan perancangan untuk majlis nikah dan perkahwinan dalam bulan-bulan akan datang ini, sebelum akhir akhir,” katanya.
Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemui selepas hadir merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi PTTI Group Sdn Bhd 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Ditanya tentang tarikh pernikahan, Syed Saddiq berjanji perkara itu akan dimaklumkan kepada umum apabila tiba masanya.
Perancangan tarikh biasanya antara keluarga. Jangan risau, perkara seperti tunang dan nikah ini bukan untuk disembunyikan, kita akan kongsikan berita gembira itu nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq mengakui proses persiapan perkahwinan menjadi pengalaman baharu yang mengajarnya mengenai tanggungjawab sebagai  bakal suami.
“Saya rasa apabila kedua-duanya sibuk bekerja, ini sesuatu yang baik kerana  kami masih mencari jalan untuk mendedikasikan masa kepada keluarga. Saya mahu menjadi seorang suami yang baik.
Jika tunang saya memilih untuk terus berkarya sebagai pelakon dan penyanyi profesional, sudah tentu jadualnya sibuk, tetapi keluarga tetap perlu dijaga dan tanggungjawab perlu dikongsi bersama,” katanya.
Mengulas mengenai harapannya, Syed Saddiq berkata, perkahwinan bukan sekadar kebahagiaan peribadi sebaliknya melibatkan tanggungjawab besar antara dua keluarga.
“Saya gembira kerana ini pengalaman pertama dan saya sedang belajar mengenainya. Ini bukan sekadar kegembiraan, tetapi tanggungjawab besar, bukan hanya sebagai suami malah dengan izin sebagai seorang bapa pada masa akan datang,” ujarnya.
Sebelum ini, Syed Saddiq dan Bella Astillah selamat mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok