SELALU bertuah, pelakon Afifah Nasir mengakui sepanjang melalui episod percintaan sebelum ini, semua bekas kekasihnya terdiri daripada lelaki baik meskipun hubungan tersebut tidak berakhir ke jenjang pelamin.
Ujar Afifah atau nama sebenarnya Nur Afifah Nasir, 33, kegagalan hubungan lalu bukan berpunca daripada keburukan pasangan, sebaliknya faktor masa serta ketentuan Ilahi.
“Saya selalu dengar termasuk daripada kakak ipar sendiri, katanya saya bertuah sebab dipertemukan dengan lelaki-lelaki baik.
Hakikatnya, semua bekas kekasih saya orang baik. Cuma tiada jodoh, kebanyakannya disebabkan faktor masa.
“Tetapi saya percaya perancangan Allah sentiasa lebih indah daripada apa kita rancang,” katanya dalam Instagram Story.
Tambah bintang drama Dulu Dollah Daebak itu, setiap perjalanan hidup mempunyai waktu terbaik yang telah ditentukan, justeru dia memilih untuk terus beriman dan berserah.
Allah bukan sekadar beri sesuatu yang baik, tetapi memberikan yang terbaik pada waktu paling tepat.
“Jadi, teruskan percaya dan yakin dengan aturan-Nya,” ujarnya.
Menjawab persoalan pengikut mengenai amalan dilakukan sehingga didekati lelaki ‘green flag’, adik kepada pelakon Anzalna itu mendedahkan rutin spiritual menjadi kekuatan utama dalam kehidupan hariannya.
“Saya tiada doa khusus, tetapi saya membaca al-Quran setiap hari kerana memberi ketenangan. Itu ‘masa sendiri’ paling bermakna bagi saya.
“Selain itu, saya cuba berpuasa sunat dan menunaikan solat sunat seminggu sekali, ikut kemampuan.
“Buat apa yang termampu secara konsisten. Harapnya, dari situ kita mampu jadi lebih baik sedikit demi sedikit,” kongsinya.
Untuk rekod, Afifah mendirikan rumah tangga dengan Syed Hariz pada 5 Mei 2024 selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan.
Hasil perkahwinan, pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata lelaki kini berusia tujuh bulan. – HIBGLAM
