Akhirnya dapat merasa ada anak lelaki – Natasha Hudson

BERKONGSI berita gembira, pelakon Natasha Hudson selamat melahirkan cahaya mata kelima pada pukul 1.15 petang, semalam.

Natasha, 43, berkata, kehadiran bayi lelaki itu anugerah istimewa selepas dikurniakan empat anak perempuan.

“Alhamdulillah syukur sangat. Pukul 1:15 petang tadi, akhirnya kami selamat sambut ‘hero’ pertama dalam keluarga. Baby boy kami lahir dengan berat 3.2 kilogram (kg).

“Rasa bermakna sangat kehadiran dia kali ini, maklumlah selepas dah ada empat puteri sebelum ni, rezeki dapat merasa anak lelaki pula.

“Proses bersalin Alhamdulillah, semuanya lancar, tenang dan sangat mudah. Hati saya betul-betul lapang dan penuh rasa syukur. Memang satu anugerah yang tak ternilai buat kami sekeluarga,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Pada masa sama, pelakon drama Mamak Cupcake itu turut menzahirkan penghargaan kepada doktor yang banyak membantunya sepanjang proses kehamilan dan kelahiran bayi.

Terdahulu, Natasha dan ahli perniagaan, Jay Jasmin mendirikan rumah tangga pada 28 Mac 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Kaia, 2.

Menerusi perkahwinan terdahulu, aktres terbabit turut memiliki tiga anak perempuan iaitu Neesa Helena, Naeema Kalila dan Faatimah. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok