Aina, Dayang, Marsha bertembung di pentas kemuncak AJL40

 

 

ANUGERAH Juara Lagu ke-40 (AJL40) bakal menyaksikan pertembungan sengit barisan ‘power vocal’ apabila Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan Marsha Milan berjaya melayakkan diri ke pentas akhir pertandingan berprestij itu.

Aina Abdul yang sebelum ini mengakui terkilan berikutan berlaku gangguan teknikal ketika menyampaikan lagu Kamu teruja sebaik keputusan diumumkan, begitu juga Marsha turut mara menerusi lagu Tangisan Seorang Pendosa dan Dayang Nurfaizah (Lemah ciptaan Hael Husaini).

Mengimbas pencapaian lalu, Dayang pernah membolot dua trofi iaitu Juara Keseluruhan dan Vokal Terbaik menerusi lagu Lelaki Teragung pada AJL31.

Sebelum itu, kehebatan vokal Dayang telah pun terbukti apabila merangkul trofi Vokal Terbaik dalam dua edisi berturut-turut, iaitu menerusi lagu Di Pintu Syurga (AJL29) dan Tak Pernah Menyerah (AJL30).

Setiap kali AJL, Aina tidak pernah pulang tangan kosong dengan memulakan rekod cemerlang sebagai Naib Juara menerusi lagu Semalam pada AJL35, diikuti trofi Vokal Terbaik menerusi lagu Sepi pada AJL36.

Pencapaian paling ikonik Aina adalah pada AJL37 apabila beliau dinobatkan sebagai Juara Lagu dan pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu Terus Hidup.

Kecemerlangan itu diteruskan pada AJL38 dengan trofi Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu, manakala pada AJL39 pula, dia membawa pulang trofi Persembahan Terbaik bagi lagu Puas Sudah.

Marsha sebelum ini pernah memenangi beberapa trofi AJL seperti merangkul Naib Juara dan Persembahan Terbaik pada AJL36 menerusi lagu Cinta.

Selain itu, dia mencatatkan rekod terbaik secara peribadi apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan AJL39 yang mempertaruhkan lagu Hening Rindu.

Selain tiga bintang ‘power vocal’ itu, Wani Kayrie yang mempertaruhkan lagu Cak Cak Cekuk berjaya meloloskan diri selepas sedekad menunggu detik penuh bermakna.

Sebanyak 10 lagu terbaik diumumkan berjaya mara ke AJL40 pada hari kedua AJL40 Separuh Akhir (AJL40SA) yang berlangsung malam tadi.

Turut layak menempatkan diri, Ryenal Guntabid (Lumangad Oku Dika), Aisha Retno (Tak Adil), Hazama (Semacam Pandora), Amir Masdi (NurCinta), Luca Sickta, Kmy Kmo dan Salammusik (Ke Mana Ni) serta K.O.I (Tiwikarma).

Untuk info, 20 buah lagu yang bertanding bagi AJL40SA dinilai beberapa juri yang diketuai Datuk Acis dengan LY, Ad Samad, Siti Hajar dan Efry Arwis

Dikendalikan Sissy Iman dan Fiza Frizzy, AJL40SA bersiaran secara langsung selama dua hari di TV3 dan Tonton.

Anugerah kemuncak AJL40 bakal berlangsung pada Ogos 2026 di Unifi Arena, Kuala Lumpur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok