SELEPAS hampir empat tahun menyulam cinta, aktes terkenal Indonesia, Luna Maya kini sah bergelar isteri kepada pelakon Maxime Bouttier sekitar pukul 4.15 petang tadi dalam sebuah majlis tertutup di Bali, Indonesia.
Dalam majlis tersebut Luna, 41, secara rasmi menjadi isteri kepada Maxime, 32, dengan sekali lafaz dan turut menerima 7.5 gram emas dan wang tunai dibayar dalam mata wang USD.
Luna yang popular dengan filem Suzanna: Malam Jumat Kliwon anggun mengenakan kebaya putih dengan veil panjang sementara Maxime pula kacak dalam persalinan serba hitam mengikut tradisi Jawa.
Majlis yang bertemakan dalam taman itu turut dihadiri ramai rakan, antaranya Reza Rahadian, Raffi Ahmad, Ashanty, Anang dan Nagita Slavina.
Acara pernikahan pasangan popular tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi akaun YouTube rasmi TS Media.
Dalam pada itu, rata-rata memuji kecantikan Luna pada majlis pernikahannya.
“Terpesona kecantikan Luna.
Mata tak berhenti memandang Luna, terlalu cantik tidak seperti usia 41 tahun.
“Seri pengantin Luna jelas terpancar,” puji netizen.
Semalam, Luna dan Maxime turut melakukan adat bersiram mengikut adat Jawa.
Terdahulu, Maxime telah melamar Luna Maya ketika bercuti di Tokyo, Jepun pada 1 April lalu.
Selain lamaran, Luna juga diberikan sebentuk cincin berlian 3.53 karat yang menjadi simbol cinta mereka. – HIBGLAM