PELAKON Hafidz Roshdi mendedahkan sudah lebih setahun tidak bertemu dengan dua anaknya, Humairah dan Umar yang kini menetap di Australia bersama bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Hafidz, 30, berkata, perasaan marah mengatasi rasa kecewa kerana sudah lama tidak bertemu termasuk mendakwa setiap platform komunikasi termasuk media sosial disekat oleh pihak Shuhada.
“Saya ada usaha hubungi dan meminta bertemu anak-anak sebelum raya tahun lalu, tetapi bekas isteri beri pelbagai alasan dan akhirnya tak dapat berjumpa,” katanya kepada HibGlam di sini, hari ini.
Lebih membuatkan pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu kecewa, dia sebagai bapa tidak menerima sebarang maklumat mengenai kehidupan dua anaknya di luar negara.
“Saya sebagai bapa ada hak untuk tahu dan jumpa anak-anak. Saya tidak kecewa, tapi saya marah kepada pihak sana.
“Sepatutnya bagilah info mengenai keberadaan anak-anak termasuk nombor telefon dan persekolahan mereka.
“Buat masa sekarang memang putus hubungan dan kali terakhir berkomunikasi sebelum raya tahun lepas,” ujarnya.
Terdahulu, Hafidz nekad memfailkan tuntutan hadanah penuh dan interim selepas lebih setahun tidak bertemu dengan anak-anaknya, yang dipercayai berada di Australia bersama Nurul Shuhada.
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini membenarkan pelakon Hafidz mendapat hak lawatan interim terhadap dua anaknya sepanjang cuti sekolah selama dua minggu bermula 29 Mei depan.
Menurut peguam yang mewakilinya, Datuk Akberdin Abdul Kader, dua anak Hafidz iaitu akan berada di bawah jagaan bapa pelakon itu sepanjang tempoh tersebut sebelum diserahkan kembali kepada ibu mereka.
Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada 30 April 2016 sebelum disahkan bercerai pada 27 Julai 2023. Hasil perkongsian hidup, pasangan berkenaan dikurniakan sepasang cahaya mata. – HIBGLAM