KEDIAMAN mewah milik pelakon dan model terkenal dunia, Cara Delevingne yang diangggarkan bernilai AS$6 juta (RM28 juta) hangus dilijat api, semalam.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku di lokasi kebakaran yang bertempat di Studio City Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Cara, 31, berada di luar kawasan ketika kejadian malang tersebut berlaku dan difahamkan dia sedang sibuk di lokasi persembahan teater West End di London, United Kingdom.
Hancur hati saya. Hidup boleh berubah dalam sekelip mata. Hargailah apa yang kita ada sementara masih ada,” coretnya menerusi Instagram yang pada mulanya menyangka dua ekor kucing kesayangan terkorban dalam kebakaran tersebut.
Cara yang cukup dikenali menerusi filem Paper Towns itu bagaimanapun memaklumkan, dua ekor kucing kesayangannya itu terselamat daripada kebakaran yang tidak disangka-sangka terbabit.
Mereka terselamat! Terima kasih pihak bomba,” tulisnya seraya berkongsi gambar keadaan haiwan peliharannya yang berjaya diselamatkan daripada kejadian ngeri terbabit.
Menurut laporan Jabatan Bomba Daerah Los Angeles (LAFD), dua individu mengalami kecederaan termasuk seorang anggota bomba dan penduduk rumah kawasan elit terbabit yang dikejarkan ke hospital. Keadaan mereka bagimanapun stabil.
Difahamkan, kebakaran bermula di bahagian belakang rumah dan kemudian merebak ke bahagian bumbung dan dengan pantas, membuatkannya runtuh.
Seramai 94 anggota bomba terlibat dalam kebakaran yang memakan masa selama kira-kira dua jam untuk memadamkan api di rumah terbabit. – HIBGLAM