Menamatkan teka-teki ramai, penyanyi Wany Hasrita mengesahkan dirinya kini sedang hamil dengan usia kandungan sudah pun mencecah enam bulan.
Wany atau nama lengkapnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 30, dijangka bakal menyambut kelahiran cahaya mata sulungnya itu pada Julai nanti.
“Betul, saya hamil. Alhamdulillah sepanjang mengandung saya tidak mengalami alahan teruk,” katanya.
Bercakap tentang perasaannya sepanjang tempoh kehamilan, Wany mengakui berasa sedikit emosional memandangkan dia hidup berjauhan dengan suaminya, Mohd. Al-Adib Fahmi Harun yang bertugas di Kuching, Sarawak.
“Disebabkan saya dan suami hidup berjauhan, memang ada masanya sedikit emosional sebab saya terpaksa menjalani pemeriksaan kandungan sendirian dengan ditemani ibu.
“Di mana saya akan bersalin dan berpantang juga belum diputuskan sama ada di sini (Semenanjung) atau dekat dengan suami di Kuching,” katanya.
Terdahulu, timbul dakwaan mengatakan Wany sedang berbadan dua ketika muncul membuat persembahan pembukaan di Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 pada Februari lalu apabila kelihatan bentuk ‘baby bump’ pada perutnya.
Biarpun menjadi buah mulut peminat, namun pelantun lagu Terlalu Memuja itu tidak membuat sebarang pengesahan sama ada dirinya hamil atau tidak.
Bagaimanapun, Wany yang juga pengacara program Borak Dulu Baru Buka bersama Khir Rahman dan Amin Idris di saluran TV Okay, baru-baru ini secara terbuka memberi bayangan dirinya sedang hamil apabila mengaku perlu makan untuk ‘dua orang’.
Untuk rekod, Wany mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang juga merupakan seorang juruterbang di Kuching pada Julai 2022.
Sebelum itu, kedua-duanya mengikat tali pertunangan pada 26 Februari 2022 selepas berkenalan dan mulai rapat pada 2019. – KOSMO! ONLINE