Bakal bercerai dengan suami Syamsul Yusof pada 18 April tidak lama lagi, pelakon Puteri Sarah reda dengan ketentuan takdir.
Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, sebagai manusia biasa, kita tidak akan sentiasa memiliki ke semuanya.
“Dalam kehidupan kita tak boleh memiliki ke semuanya. Sekuat mana kita genggam, sekuat mana kita cuba tahan bila sampai masanya Allah nak kita lepaskan, kita kena lepaskan.
“Banyak hal yang kita tak boleh nak memiliki dalam masa yang panjang sebab fitrah duniawi memang datang dan pergi,” katanya menerusi satu hantaran status dalam Instagram.
Ujar pelakon drama Andai Itu Takdirnya 2 lagi, dia yakin dengan aturan Allah SWT dan apa yang dimiliki di dunia hanya bersifat sementara.
“Bila kita yakin yang Allah dah aturkan yang terbaik maka kita kena reda dan ikhlaskan.
“Meski memakan banyak masa, tak mengapa asalkan kita ajar diri dan didik diri untuk lebih bersikap terbuka.
“Kekecewaan dunia hanyalah sementara sedangkan ada kebahagiaan lain yang Allah cuba simpan untuk kita. Jodoh yang lain Allah simpan untuk kita. Apa yang kita perlukan sekarang, hati yang tenang dan bulatkan keyakinan sepenuhnya pada Allah,” katanya lagi.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah menetapkan 18 April ini untuk pengarah, filem Syamsul Yusof, 39, melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah Liyana, 32.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan kata sepakat antara kedua-dua pihak.
Syamsul juga akan menarik menarik semula semua tuntutan termasuklah nusyuz yang difailkan pada 21 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE