Penyanyi yang juga bekas peserta program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Fuad Rahman menyentuh hati ramai dengan kelunakan suaranya mengalunkan bacaan al-Quran.
Penyanyi itu menjadi perhatian selepas dia bersama isteri, Tom muncul sebagai tetamu dalam sebuah program Astro, Geng Ngaji untuk mengalunkan beberapa baris ayat al-Quran.
Selepas rancangan tersebut disiarkan, Tom memuat naik babak mereka muncul dalam televisyen menerusi TikTok miliknya dengan kapsyen: “Fuad sahaja mengaji. Tom tidak pandai sangat.”
Rata-rata netizen kagum dan sebak apabila Fuad mengalunkan ayat al-Quran sambil ditemani Tom yang cantik mengenakan telekung berwarna kelabu di sisinya.
“Terbaik. Alhamdulillah. Jadi sebab itulah don’t judge a book by it’s cover (jangan menghakimi sesuatu daripada luaran). Semua ada kelebihan masing-masing,” kata peminat.
“Bergenang air mata saya. Insya-Allah, Tom ada suami untuk bimbing awak. Semoga Allah memberkati rumah tangga kalian berdua,” ujar pengikut lain.
“Allah melihat pengakhiran kita. Semoga Fuad dan Tom menjadi hamba Allah yang terpilih. Sayunya,” luah seorang lagi netizen.
Sekadar info, Tom dan Fuad mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis tertutup pada 26 Februari lalu di Batam, Indonesia.
Pasangan itu sebelum ini pernah menjalinkan hubungan sekitar 2005, namun ikatan tersebut terputus pada 2010 apabila Fuad ditahan pihak polis Singapura dan dijatuhkan hukuman penjara akibat penyalahgunaan dadah.
Cinta mereka kembali berputik selepas sama-sama terlibat dalam program GV9 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE