Terserah kepada Syamsul nak balik atau tidak – Yusof Haslam

TIDAK meletakkan sebarang harapan, pengarah dan penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam enggan memaksa anaknya, Syamsul Yusof kembali ke pangkuan keluarga setelah lima tahun terputus hubungan.

Katanya, perkara itu sudah beberapa kali diperkatakan dan terserah kepada Syamsul untuk memutuskan sama ada mahu bertemu keluarga atau sebaliknya.

“Itu terserah kepada dia. Hendak cakap benda sama berulang kali bagi saya tidak manis.

Kita pun sebagai orang tua bukan pengemis kepada anak sendiri.”

“Apa-apa pun, kasih sayang kami sebagai ibu bapa tidak pernah berbelah bahagi. Bagi saya dia tahu di mana tempat dia, dia tahu di mana hendak balik,” katanya ketika ditemui dalam sidang media pertama Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di Kuala Lumpur, semalam.

Sutradara filem Sembilu itu turut mengakui sudah buntu untuk menasihat Syamsul kerana beranggapan putera keduanya itu sudah dewasa dan matang dalam membuat keputusan.

“Saya tidak tahu hendak cakap apa. Saya hendak pesan yang bagaimana kerana kita sudah lama berpesan (nasihat) kepada dia.

“Lagipun dia juga sudah 40 tahun, saya pun sendiri sudah tua, dah 70 tahun.

“Pada saya, lebih baik serahkan segalanya kepada takdir dan doakan yang terbaik buat mereka tanpa melukakan hati mana-mana pihak,” katanya.

Semalam, Yusof menafikan dakwaan mengatakan dia sekeluarga gembira apabila mengetahui pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan iaitu Syamsul atau nama lengkapnya Mohd Syamsul Mohd Yusof memfailkan perceraian terhadap isterinya Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Isnin lalu.

Sebelum ini Yusof memberitahu keluarganya sudah lama terputus hubungan dengan Syamsul selain tidak mengetahui perkembangan terkini anaknya itu.

Terdahulu, Syamsul dan Ira atau nama sebenar Faghirah Fatini Kazaruddin bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok