Jaga hati, Ummi Nazeera tolak bergandingan dengan Aliff Aziz

PELAKON Ummi Nazeera menolak tawaran bekerja dengan penyanyi Aliff Aziz meski pernah bergandingan dalam drama Dia Dari Syurga.

Kata Ummi atau nama sebenarnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 34, dia memilih berbuat demikian demi menjaga hati orang sekeliling.

Saya memang selektif termasuk perihal pelakon gandingan. Selama ini saya juga memilih hero saya.

“Sebenarnya ada beberapa tawaran lain saya dapat selepas disatukan dengan Aliff dalam drama Dia Dari Syurga.

Namun, saya tolak bekerjasama dengan dia. Bukan sebab dia ada buat salah dengan saya tetapi mahu elak mengguris hati sesiapa,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka FiziWoo, semalam.

Ditanya sekiranya pelakon drama Nur Kasih itu pernah menghubungi Aliff, Ummi pantas menidakkan namun mengakui ada berkomunikasi ketika menjalani penggambaran.

Saya tidak pernah menghubungi Aliff walaupun kami berkawan. Dia pun tidak pernah ‘over limit’ (melebihi had).

“Dia selalu minta bantuan saya membabitkan lakonan sebab tahu saya memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik tahun lalu,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, selaku rakan industri Ummie mendoakan yang terbaik buat Aliff apabila terjebak dengan kontroversi panas melibatkan banyak pihak.

“Sebagai rakan kerja, saya hanya mahu yang terbaik buat semua orang. Dia dan keluarganya tidak pula buat salah dengan saya.

“Namun, tiba-tiba ada benda tidak baik terjadi. Saya hanya kirimkan doa dan tidak sebarkan aib.

“Apabila dapat tahu, saya tiada komen. Saya cuma tahu perkara tersebut melibatkan ramai orang,” katanya.

Sebelum ini, Ummi pernah bergandingan dengan Aliff menerusi drama Dia Dari Syurga yang bersiaran di saluran RTM pada Mac lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok