Aktif sukan berkuda, Intan Najuwa hargai hadiah suami

TIDAK mensia-siakan pemberian suami tercinta, Datuk Ahmad Azraf Azman, pelakon Datin Intan Najuwa kini sedang berjinak-jinak dengan suka berkuda.

Pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, itu berkata, aktiviti sihat itu dilakukan dua hingga tiga kali seminggu sebagai rutin mengeluarkan peluh.

“Alhamdulillah saya aktif berkuda sejak berkahwin. Sebenarnya suami saya lebih aktif, kadang-kadang saya akan turut serta kalau rasa bosan.

Hendak kata aktif, okeylah seminggu dua tiga kali. Boleh keluarkan peluh dan menghargai hadiah kuda yang diberikan suami,” katanya kepada HibGlam pada malam kemuncak Anugerah Telenovela di sini, baru-baru ini.

Dia yang popular dengan drama Kekasih Paksa Rela berkata, rutin hariannya turut berubah sejak berkahwin yang mana tidak lagi tertumpu pada kerjaya dan belajar sahaja.

“Sebenarnya selepas berkahwin baru saya belajar tentang sukan kuda.

Sebelum kahwin buat apa? Asyik bekerja. Kerja dan belajar sahaja rutin sebelum kahwin, macam robot.

“Selepas berkahwin, jadual hidup semakin longgar jadi ada masa untuk lakukan aktiviti sihat,” ujarnya.

Tambahnya yang sudah memiliki lima ekor kuda, sukan tersebut juga dilihat mampu mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

“Sekarang saya sudah ada lima kuda. Semua kuda itu ada pasport sendiri.

Pada awalnya sebagai hobi tetapi lama-kelamaan menjadi minat dan dapat luangkan masa bersama suami.

“Aktiviti ini juga bagus untuk kesihatan mental dan merapatkan hubungan suami isteri. Bangun pagi, pergi sarapan kemudian lakukan sukan kuda ini bersama-sama,” katanya yang belum pernah mengalami kecederaan sepanjang melakukan aktiviti berkuda.

Sebelum ini, sekitar September tahun lalu, Intan pernah berkongsi kepada umum menerima hadiah seekor kuda berwarna putih daripada Ahmad Azraf sempena ulang tahun kelahiran ke-26.

Dia bagaimanapun mengakui tidak pandai menunggang kuda dan menganggap hadiah tersebut adalah untuk menggalakkannya melakukan aktiviti luar.

Sejak mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos 2023 di sebuah resort di Desaru, Johor, Intan sering menjadi sorotan orang ramai kerana kerap dimanjakan dengan kehidupan mewah oleh suaminya.

Netizen bagaimanapun tidak mengecam sebaliknya merasakan dia layak memiliki kemewahan daripada suami kerana memiliki pakej lengkap iaitu cantik, bijak dan pandai menguruskan rumah tangga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok