Tiada lagi cinta tapi saya dendam – Fatiya Latiff

PELAKON sensasi, Fatiya Latiff menegaskan tindakannya sejak beberapa hari lalu bukan satu provokasi malah dia tiada niat mengganggu keharmonian rumah tangga pasangan pelakon Aiman Hakim Ridza dan Zahirah Macwilson.

Fatiya atau nama sebenarnya, Nur Fatiya Abdul Latiff, 36, bagaimanapun berkata dia layak memuat naik sebarang foto dan perkara berkaitan bekas kekasihnya itu.

“Menghancurkan rumah tangga orang? Macam mana awak tahu saya lakukan provokasi?

Dia seorang selebriti dan saya boleh muat naik apa sahaja yang saya suka.

“Jadi, mengapa saya tidak boleh guna foto dia yang sudah tersebar di seluruh dunia,” katanya dalam temu bual bersama penyanyi Caprice semalam.

Tambahnya yang popular menerusi drama Ariana Rose itu, Aiman juga pernah menjadi individu dicintainya sebelum ini.

Dia pernah menjadi sebahagian daripada hidup saya kerana sudah bercinta selama lima tahun.

“Tidak salah rasanya untuk saya muat naik sesuatu tentang seseorang yang pernah berada dalam hati saya sebelum ini,” ujarnya.

Paling mencuri perhatian dalam temu bual tersebut, Fatiya memberitahu dia masih menyimpan dendam terhadap Aiman namun puncanya tidak dijelaskan secara terperinci.

Fatiya bagaimanapun dilihat belum dapat melupakan kisah cinta tidak kesampaiannya apabila memberi kenyataan ‘putar belit’ ketika ditanya sama ada sudah melupakan Aiman atau sebaliknya.

“Saya sudah ‘move on’. Kalau belum ‘move on’, saya tidak akan berkongsi fotonya.

“Saya tidak ‘move on’ sebab saya ada dendam terhadapnya. Saya tidak mencintainya lagi tetapi saya ada dendam,” katanya sebelum berlepas ke Tokyo, Jepun semalam.

Sejak 8 Januari lalu, Fatiya mengejutkan ramai apabila melabel wajah Zahirah persis pembantu rumah dan menuduh aktres itu melakukan pembedahan plastik pada bibirnya.

Satu demi satu kenyataan provokasi dimuat naiknya dalam media sosial sehingga mencetuskan rasa kurang senang dan kebimbangan ramai mengenai keadaan kesihatan mentalnya ketika ini.

Fatiya sebelum ini pernah menjalin hubungan cinta dengan Aiman, namun perhubungan mereka berakhir pada Disember 2015.

Aiman kemudian menamatkan zaman bujang dengan Zahirah pada 20 Februari 2020 dan mereka bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok