Tak kekok siang ikan, Aufahanie masak sejak 9 tahun

TIDAK kekok melakukan kerja rumah, penyanyi Aufahanie mendedahkan mula memasak dan mengemas rumah ketika berusia sembilan tahun selepas ibu bapanya bercerai.

Ujar pemilik nama penuh Nur Aufahanie Mokhtar itu, dia mengambil alih tugas ibunya dan menggalas tanggungjawab sebagai kakak sulung bagi menyediakan keperluan harian adik-beradiknya yang lain.

“Ibu bapa saya berpisah ketika umur saya sembilan tahun. Jadi, apabila tinggal bersama bapa dan adik-beradik lain, tugas mengemas dan memasak saya ambil alih.

“Saya ada dua abang dan seorang adik perempuan, kiranya saya anak perempuan sulung dalam keluarga.

“Mulanya, saya hanya masak lauk mudah, lama-kelamaan saya belajar melalui Google atau telefon ibu bertanya resepi,” katanya kepada HibGlam.

Sedar isu siang ikan tular dalam media sosial, penyanyi berusia 20 tahun itu tidak melihat wanita kekok di dapur sebagai satu kekurangan kerana semua perkara boleh belajar.

“Bagi saya kemahiran masak atau siang ikan boleh dipelajari secara perlahan-lahan.

“Ada yang sebelum kahwin tidak pernah masuk dapur langsung sebab semua benda ibu mereka yang sediakan.

“Bagi saya, itu semua tiada masalah, sesiapa pun boleh belajar. Nak atau tidak sahaja,” katanya.

Sebelum ini, isu siang ikan hangat diperkatakan netizen apabila tular video memaparkan dua pengacara wanita kekok melakukan aktiviti itu.

Susulan itu, hos program bual bicara tersebut dikecam dengan alasan golongan wanita sepatutnya mahir berbuat demikian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok