PELAKON Ikmal Amry berkongsi berita gembira, isteri tercinta, Najla Shamsul selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di ibu negara, semalam.
Ikmal berkongsi perkembangan terkininya itu dalam Instagram selain menzahirkan rasa syukur atas kelahiran anak keduanya itu.
“Rahmat Ilahi, syukur alhamdulillah, pada hari jumaat yang berkat isteri saya selamat melahirkan anak lelaki.
“Terima kasih atas doa kalian. Semoga kita semua diberkati,” katanya.
Bagaimanapun, Ikmal tidak berkongsi butiran lanjut kelahiran anak keduanya itu selain belum mendedahkan lagi nama puteranya.
Menerusi perkongsian video tersebut, pelakon filem Pulau itu dilihat sedang melaungkan azan di telinga anaknya.
Berita kelahiran ini mengejutkan ramai peminat kerana sebelum ini Ikmal tidak berkongsi mengenai kehamilan kedua isterinya.
“Tahu-tahu sahaja sudah bersalin. Tahniah Ikmal dan isteri, cukup sepasang,” kata peminat.
“Wah! Tidak tahu pun Najla hamil sebelum ini. Tahniah awak berdua,” ujar pengikutnya.
Pasangan yang diijabkabulkan pada 19 Disember 2020 itu sebelum ini dikurniakan cahaya mata perempuan bernama Cailie pada 30 Disember 2021. – HIBGLAM