Beckham tolong jujur, jangan berlagak ‘victim’ konon tak curang – Rebecca Loos

PEMBANTU peribadi (PA) yang juga bekas wanita simpanan kepada David Beckham, Rebecca Loos melahirkan rasa tidak puas hati berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas penyerang kelab bola sepak Manchester United itu yang menafikan tentang hubungan sulit mereka.

Menerusi dokumentari berjudul Beckham yang disiarkan dalam laman penstriman Netflix, Loos memberitahu, suami kepada penyanyi Victoria Beckham itu tidak bersikap jujur tentang hubungan sulit yang terjalin antara mereka pada 2004.

Lebih membuatkan wanita berusia 46 tahun itu bengang apabila Beckham, 48, berlagak seolah-olah menjadi mangsa dalam hal tersebut.

“Dia sepatutnya bertanggungjawab dengan apa yang dia lakukan, bukannya menagih simpati orang lain,” katanya seperti yang dipetik dalam portal Standard.co.

Dedah Loos lagi, dia  menjalinkan hubungan sulit dengan bapa kepada empat orang cahaya mata itu selama empat bulan, sebelum dipecat sebagai PA.

Beckham dalam satu kenyataannya sebelum ini menafikan pernah menjalinkan hubungan sulit dengan Loos selepas isterinya sendiri membongkar kecurangan yang dilakukannya.

Ekoran suaminya bermain kayu tiga, Victoria yang juga bekas anggota kumpulan Spice Gilrs dikatakan menderita selama beberapa tahun.

Bagaimanapun, Beckham menyangkal dakwaan tersebut dan mengatakan bahawa Victoria adalah segala-galanya dalam hidupnya.

“Melihatnya terluka sangat sukar, tapi kami adalah pejuang. Kami perlu berjuang untuk satu sama lain dan keluarga kami,” ujarnya.

Beckham dan Victoria mendirikan rumah tangga pada 4 Julai 1999 dan dikurniakan empat orang anak iaitu Brooklyn Beckham, Romeo Beckham, Cruz Beckham dan Harper Seven. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok