Aliff Aziz seronok isteri hadir ke GV10, lebih bersemangat!

DIULIT bahagia, itu yang dirasai penyanyi Aliff Aziz apabila isterinya, Bella Astillah hadir ke konsert minggu ketiga All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada Ahad lalu.

Kata Aliff atau nama penuhnya Mohammad Aliff Aziz, 32, kehadiran Bella pada hari tersebut meledakkan lagi semangat juangnya untuk terus bersaing dalam GV10.

“Ini kali pertama dia hadir (minggu lalu) sebab jadual kerjanya sangat padat.

“Apabila dia ada di belakang pentas dan beri semangat, itu sangat membantu saya secara keseluruhan. Sebenarnya itu yang selalu dia buat sejak GV8,” katanya kepada HibGlam selepas konsert minggu ketiga ASGV baru-baru ini.

Mengakui kehadiran Bella mencetuskan semangat berbeza, bekas juara GV musim kelapan itu sentiasa berharap isterinya akan muncul di setiap konsert mingguan ASGV selepas ini.

“Perasaan memang lain bila dia hadir. Beberapa minggu sebelum ini saya lihat Hady Mirza dan Ayai Ilusi ditemani isteri masing-masing.

“Tidaklah cemburu tetapi momen sebegitulah yang saya lalui pada GV8 (ditemani Bella).

“Bila dia hadir minggu ini (Ahad lalu), saya rasa akhirnya! Malah terdetik dalam hati ‘saya pun ada! (isteri menemani).

“Harap dia akan teman saya setiap minggu selepas ini, insya-Allah. Dia pun ada maklum, jika tiada kekangan kerja, dia pasti akan hadir,” ujarnya.

Sejak kelmarin, nama Aliff dan Bella menjadi bualan hangat ramai selepas aktres Sophia AlBarakbah muncul di konsert GV10 yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA pada Ahad lalu.

Kata Sophia, dia hadir bagi menemmani dan memberi sokongan kepada sepupunya iaitu Aisha Retno yang membuat persembahan dalam segmen GV Live+.

Sophia turut menjelaskan dia beredar dari dewan selepas persembahan Liza Hanim dan bukannya Aliff.

Perkara itu sekali gus mencetuskan kemarahan Bella yang mendakwa aktres tersebut menipu dan memutar belit cerita.

Aliff yang mengakui menyedari kehadiran Sophia berpendapat setiap individu bebas untuk hadir menyaksikan konsert tersebut yang dianggap sebagai acara terbuka

Mengimbau semula ‘tragedi’ pada Januari lalu, nama Sophia meledak selepas Bella mendakwa dia menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya dengan Aliff sekitar Januari lalu.

Aliff dan Bella yang mendirikan rumah tangga pada 2016, kini bahagia bersama sepasang cahaya mata, Ayden Adrean,6,  dan Ara Adreanna, 3.

Manakala, Sophia pada bulan lalu dilaporkan mengakui sudah putus cinta dengan jejaka yang dikenali sebagai Mr. Doctor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok