Diganggu bunyi cakaran, Fasha Sandha beringat

PELAKON, Fasha Sandha mendedahkan berdepan gangguan misteri di sebuah inap desa di Kuala Kangsar, Perak ketika menjalani penggambaran Cerana Biduk Bu Merah sekitar 2018.

Katanya, walaupun sudah lima tahun berlalu, peristiwa itu masih terngiang-ngiang sehingga kini selain terus mengingatkan dirinya supaya menjaga tingkah laku dan tutur kata di tempat orang.

“Semua kru dan pelakon ditempatkan di inap desa di Kuala Kangsar yang terletak berhampiran lokasi penggambaran filem seram Cerana Biduk Bu Merah.

“Nak kata gangguan mistik sangat tidaklah, tetapi ada satu momen ketika saya bersama pembantu peribadi dalam bilik, tiba-tiba kedengaran bunyi cakaran di dinding.

“Terkejut sebab makin lama makin kuat tapi kami anggap ‘benda’ tu cuma lalu, malah sepanjang bekerja di mana-mana lokasi saya pastikan jaga adab dan ‘minta izin’ atas niat mahu mencari rezeki,” katanya selepas pratonton filem Cerana Biduk Bu Merah, baru-baru ini.

Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan yang membawakan watak wanita penjaga tepak sirih berpenunggu itu memaklumkan banyak pengalaman baharu dikutip sepanjang sebulan berkampung di set penggambaran.

Biarpun tidak berdepan sebarang kekangan ketika bekerja dengan Haizul Anafer selaku pengarah dan penerbit, aktres versatil itu menghadapi sedikit kesulitan ketika proses memasukkan suara.

“Filem ini menjalani penggambaran lima tahun lalu, manakala proses ‘dubbing’ dibuat ketika saya sedang hamil Aisha Amaira dan masih dalam fasa ‘morning sickness”.

“Kebetulan tak sihat dan muntah-muntah tetapi syukur dapat sempurnakan tugasan tersebut dengan baik,” katanya.

Selain Fasha,  filem yang akan ditayangkan 12 Oktober itur turut dibintangi Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su dan Badrul Muhayat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok