Memoir 3 dekad Exists

TEMPOH 32 tahun berpayung di bawah band yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu tentu sahaja satu pengembaraan sarat suka duka.

Meletakkan Exists sebagai satu jenama ampuh pada usia mereka bermula sebagai budak mentah juga semestinya punya cabaran tersendiri.

Pada usia rata-rata masih belasan tahun ketika itu, akui Ajai atau Mohd. Faizal Maas, 48, emosi adakalanya mengatasi pertimbangan hingga berlakunya episod rajuk.

Cuma, kebijaksanaan serta pertimbangan anggota paling tua iaitu berbeza umur lima tahun daripadanya, Musa Radhi, 53, menyejukkan keadaan.

“Biasalah dalam perhubungan dan adik-beradik pun kita boleh berbalah pendapat, tetapi apabila ini berlaku episod perang dingin tidak lama sebab kami ada pendamai.

“Musa memang boleh jadi orang tengah. Bukan sebab dia lebih tua, tetapi lebih kepada caranya mencari jalan penyelesaian.

“Ikutkan sampai sekarang pun Musa sentiasa jadi rujukan kami kalau ada apa-apa perkara yang sudah dibincangkan dengan orang lain,” katanya.

Selain Ajai dan Musa, band asal Johor yang menempa kemasyhuran di Indonesia serta serantau itu turut dianggotai Ujang, Musa, Along, Mamat dan Ezad.

Musa (kiri) akan menghasilkan buku Memoir Exists yang memuatkan suka duka kembara seni Exists.

Menurut Musa yang juga pemain bass dan keyboard, sebagai ‘abang’ dia mengakui mudah untuk menangani sikap setiap ahli kumpulan dengan cara berhemah.

“Pokok pangkal memujuk orang adalah diplomasi dan jadi pendengar kerana setiap orang mempunyai personaliti berbeza tetapi cara mendinginkan hati yang panas tetap sama.

“Semakin kita membesar bersama hingga ke saat ini saya sudah boleh jangka apa yang mahu mereka kongsikan dan kemudian kami sama-sama cari resolusinya,” luahnya.

Menurut Musa lagi, sejak dulu dia juga mempunyai tabiat suka menulis sebarang kisah atau peristiwa membabitkan band berkenaan.

Katanya, andai dulu penulisan tersebut dikongsikan dalam medium Facebook, kini dia dalam perancangan menghasilkan sebuah buku.

“Banyak sebenarnya kisah kami saya tulis yang pada awalnya untuk kenangan, malah setiap seorang mempunyai cerita istimewa yang belum sepenuhnya saya kupas kepada umum.

“Buku itu nanti bakal jadi Memoir Exists, kisah awal kami bergabung dengan ramai ketika itu belum pun habis sekolah menengah serta kesukaran kami pada tahun terawal berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Mungkin kisah vokalis kami, Ezad Lazim yang datang dari Kedah bergabung dengan pemuzik asal Johor hingga ketika itu mengundang keraguan peminat turut saya angkat dalam buku itu nanti,” kongsinya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok