MESKI masih trauma selepas menerima ugutan bunuh pada Mac lalu, kumpulan muzik Indonesia, Radja tidak serik kembali ke Malaysia yang sudah dianggap sebagai rumah kedua.
Menurut vokalisnya, Ian Kasela perancangan konsert yang bakal berlangsung pada November depan lebih utama berbanding memperbesar-besarkan kes dengan penganjur sebelum ini.
“Sebagai manusia, wajar untuk kami rasa trauma. Itu pasti akan ada tetapi kami tetap positif kerana ada perkara lebih penting yang harus diutamakan.
“Malaysia sudah seperti rumah kedua kami. Tidak mungkin kami takut untuk kembali ke sini lagi. Kami juga sudah tidak ambil kisah.
“Ini adalah isu dalaman penganjur. Kami ambil pendekatan lebih berwaspada terutama membabitkan perincian kontrak dan latar belakang penganjur,” katanya pada sidang akhbar Live In Concert: Radja, hari ini.
Akui Ian lagi, susulan kes yang sudah dibawa ke mahkamah, Radja mengelak daripada menggunakan khidmat pihak ketiga.
“Selepas insiden tersebut, kami menghindari orang tengah untuk komunikasi yang lebih aktif dan mengikut prosedur sepatutnya.
“Malah, pihak pengurusan turut menitikberatkan isu keselamatan serta memastikan perbincangan telus dan lebih aktif,” ulasnya lagi.
Sebelum ini, Radja menerima ancaman bunuh daripada dua individu yang dipercayai wakil pihak penganjur selepas selesai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac lalu.
Difahamkan, situasi cemas tersebut berlaku susulan salah faham membabitkan pihak penganjur dan band terbabit.
Pada 15 Mac, seorang pemilik syarikat pengurusan didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap Ian dan anggota Radja.
Selain Ian, 49, Radja yang berasal dari Banjarmasin, Indonesia turut dibarisi Seno Aji, 43, dan Mouldyanshah Mulyadi, 49.
Sementara itu, konsert Radja yang bakal berlangsung di Arena Mega Star Kuala Lumpur pada 12 November depan bakal diserikan dengan kemunculan istimewa Ella. – HIBGLAM