Perjuangan si introvert Ikmal Amry

MEMBESAR sebagai insan introvert semestinya menjadi cabaran besar buat pelakon tampan, Ikmal Amry apabila kerjaya seni yang diceburi menuntutnya  ramah bersemuka dengan ramai orang dan bergaul mesra depan khayalak umum.

Bukan mudah, namun sikap introvert yang sekian lama terbenam dalam diri pemilik nama penuh Mohd Zulikmal Amry Ghazali itu sekuatnya dikawal demi masa depan karier.

Berasa diperhatikan baik secara realiti mahupun dalam media sosial, Ikmal sedar, itulah harga yang harus dibayar sebagai insan bernama selebriti.

Justeru, dia sedaya upaya melawan sifat introvert itu terutama ketika di set penggambaran mahupun menghadiri sebarang acara hiburan.

Baginya, melawan sahajalah taktik yang mampu diaplikasikan demi memastikan kualiti kerjanya setara dengan apa yang dimahukan pengarah sekali gus tidak menjejaskan periuk nasinya.

“Saya memang pendiam, boleh kata sangat introvert, namun saya faham sebagai figura umum, saya kena lawan sifat itu.

“Bayangkan setiap babak yang saya lakukan buat tangan berpeluh, jantung berdegup laju, tapi saya suka buat perkara yang bukan diri saya, luar daripada kebiasaan.

“Kalau saya tak lawan, apa lagi saya kena lakukan? Itu kerjaya saya, tanggungjawab saya sebagai pelakon dan model.
Kalau tak buat, bagaimana nak sara keluarga saya?” ujarnya serius.

Bagaimanapun, aktor berusia 29 tahun itu dapat menarik nafas lega apabila mengetahui ramai sebenarnya pelakon berpengaruh berdepan isu sama.

Lantas, setiap kali berkongsi pengalaman dengan individu terutama pelakon lain yang introvert, anak jati Masjid tanah itu tidak sendirian dan perlu menolak ke tepi perasaan segan dan malu yang menebal dalam dirinya

“Ramai saja pelakon macam saya pun, antaranya Hafreez Adam. Saya pernah jalani penggambaran bersamanya. Saya ingat, saya paling introvert, bila jumpa yang lebih kritikal, rupa-rupanya tahap saya boleh tahan lagi kerana mampu berbual.

“Saya introvert bila kena pegang mikrofon. Bila kena buat hal yang saya tak boleh buat, itu memang akan buat saya takut.

“Tapi sekarang, bila jumpa orang yang asing, saya akan cuba selesakan diri. Dulu-dulu saya tak boleh sangat dan akan berpeluh-peluh,” katanya yang kini hangat menerusi naskhah romantik komedi Viu Original, From Saga With Love arahan Umi Salwana Omar.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok