“AUTOIMUN saya masih lagi ada. Kalau tengok mata pun sentiasa merah, itu adalah daripada kesan radang yang ada dalam badan saya.”
Demikian perkongsian pelakon Karl Shafek tentang penyakit autoimun yang dihidapnya sejak 2019 kini semakin beransur pulih.
Menurut Karl atau nama lengkapnya Khairul Shafek Ibrahim, 46, walaupun simptom radang masih kelihatan, keadaannya kini jauh lebih stabil berbanding peringkat awal diagnosis selepas mengambil langkah mengubah gaya hidup.
“Cuma ketika ini terkawal sebab saya mengamalkan kehidupan yang sihat serta mengubah gaya hidup saya supaya lebih relaks dan tidak ‘work oriented’.
Kerja tetap diteruskan cuma tak seperti dahulu yang penggambaran dari pagi ke pagi dan sebagainya.
“Alhamdulillah buat masa ini, gangguan sikit-sikit itu ada cuma dapat dikawal berbanding penyakit itu mengganggu hidup saya,” katanya kepada HibGlam semasa sidang media Teater Tomyam Berdarah, semalam.
Dalam masa sama, pelakon filem Zaitun: Ceritaku itu bersyukur apabila dos dan jumlah ubat harian yang perlu diambilnya berkurang secara mendadak.
Sekarang ini saya mengambil lima jenis ubat berbanding 16 jenis ketika awal dahulu.
“Namun, jika berlaku masalah radang, saya perlu ambil ubat tambahan atau mendapatkan rawatan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Karl sentiasa memantau tahap radang dalam badannya agar berada dalam julat yang selamat.
Saya tetap kena pantau supaya radang dalam badan saya tak mencecah angka 15.
“Jadi saya kena kawal supaya tak mencapai angka yang merisaukan. Kalau tidak, saya perlu tambah ubat dan menjalani rawatan seperti fisioterapi,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Karl bakal tampil sebagai Cef Rahman dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah.
Muzikal Tomyam Berdarah bakal dipentaskan selama tiga hari bermula 28 Ogos di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – HIBGLAM
