Jangan tunggu orang untuk dapat peluang, cari ‘trademark’ – Aisha Retno

PENYANYI Aisha Retno menasihati penyanyi baharu terutama generasi muda terus mencari atau mencipta identiti sendiri bagi memastikan kerjaya seni bertahan lama.

Menurut Aisha, 26, identiti sangat penting untuk penyanyi agar tidak mudah dilupakan dalam lambakan kemunculan bakat-bakat baharu termasuk yang lahir dari platform media sosial.

“Perlu ada keunikan dan cari ‘trademark’ sendiri. Semua itu sangat penting sebab zaman media sosial sekarang, kita perlu pantas dan ‘battle’ dengan setiap trend yang muncul.

“Begitu juga pembikinan muzik, lagu dan sebagainya. Kalau rasa nak mencuba untuk menulis lagu, teruskan.

“Cuba tulis lagu sendiri walaupun kita ada barisan komposer yang mampu hasilkan karya hebat. Pertaruhkan segala kreativiti di dalam lagu tersebut,” katanya.

Tambah pemilik nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu, penyanyi baharu perlu berfikir lebih pantas dan jangan sesekali hanya duduk diam menanti kerjaya seni bergerak sendiri.

“Jangan tunggu orang untuk beri peluang mengemudi kerjaya sebaliknya kalian yang perlu memandu karier sendiri kerana setiap hari akan muncul bakat baharu.

“Jadi, sebab itu harus ‘battle’ dengan diri sendiri dan dari situ kita tahu di mana untuk meletakkan bakat dalam industri ini.

“Boleh ikut trend tetapi dalam masa sama perlu suntik keunikan sendiri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Tak Adil itu juga mengingatkan setiap penyanyi tidak melupakan setiap sokongan dan usaha peminat yang membantu menaikkan nama dan karya mereka.

“Kemudian, peminat juga satu asas yang penting dalam kerjaya.

“Jangan pernah tinggal dan lupakan jasa peminat sebab mereka yang membuatkan kalian berada di posisi ketika ini,” jelasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok