HAMPIR empat bulan mendirikan rumah tangga, penyampai radio Era FM, Radin mengakui berat badannya naik mendadak.
Menurut Radin atau nama lengkapnya Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, 36, antara punca utama perubahan fizikalnya itu adalah disebabkan isterinya gemar memasak.
“Isteri saya ‘love language’ dia suka masak.
Saya paling suka megi goreng dan ikan rebus bersama air asam. Sebenarnya berat badan saya naik selepas kahwin.
“Sejujurnya, inilah saya rasa berat yang paling tinggi bila saya kerja,” katanya kepada HibGlam semasa majlis pelancaran lagu KITA sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, di sini, hari ini.
Di samping hidangan isteri, Radin menjelaskan faktor pengambilan ubat turut menyumbang kepada kenaikan berat badan tersebut.
“Pada masa sama sebenarnya berat badan saya naik lepas makan ubat sebab kaki saya mengalami koyakan separa ligamen krusiat anterior (ACL).
Bila makan ubat, kita tak pantau perkara itu dengan bagus. Selera makan tinggi, jadi berat badan saya naik mendadak.
“Waktu arwah mak saya meninggal dulu pun, apa yang boleh tenangkan saya adalah dengan cara saya makan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Radin meluahkan hasratnya untuk menurunkan berat badan untuk kembali ke bentuk badan asal.
“Saya bukan nak menyalahkan keadaan tetapi ini adalah fasa kehidupan saya.
“Sejujurnya jauh di lubuk hati, saya nak kembali ke bentuk badan sebelum ini.
Saya tengok Nabil aktif, dia masih lagi jaga fitness. Tak kisah dalam bidang apa sekali pun, mengamalkan kehidupan secara sihat satu benda yang kita kena utamakan,” jelasnya.
Sebelum ini, Radin sah bergelar suami kepada Nur Amirah Shamsulbahrin pada 1 Mei lalu.
Radin dan isterinya berkenalan sejak lebih setahun lalu namun hubungan mereka tidak didedahkan kepada umum sehinggalah detik terakhir sebelum diijabkabulkan. – HIBGLAM
