Dia buka mata saya, beri apa orang mahu – Aina Abdul

HAMPIR memilih untuk memperlahankan skala persembahan lagu Kamu di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), penyanyi Aina Abdul akhirnya mengubah keputusan selepas mendapat ilham daripada pertemuan tidak disangka-sangka bersama seorang peminat.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 33, berkata, perancangan asal untuk tampil secara lebih sederhana berubah selepas pertemuan tersebut membuka matanya supaya kembali percaya pada acuan serta identiti sendiri.

“Selepas berbincang dengan pasukan, saya mula tertanya-tanya sama ada memberikan persembahan secara habis-habisan atau sebaliknya. Namun, Allah memberikan petanda secara perlahan-lahan.

Ketika hendak membuat keputusan, saya bertemu seorang insan di sebuah pusat beli-belah. Ketika itu saya sedang menangis dan dia beritahu supaya saya melakukan persembahan mengikut cara sendiri.

“Pertemuan itu benar-benar membuka mata saya. Saya akhirnya membuat keputusan untuk mendengar kata hati, memberikan apa yang orang mahukan dan pada masa sama melakukan apa sahaja seorang Aina Abdul patut lakukan,” katanya kepada HibGlam.

Bercerita lanjut, pelantun lagu Sadis itu memaklumkan keputusan tersebut akhirnya memberi ketenangan luar biasa kerana dia memilih untuk mengetepikan keraguan dan kembali kepada naluri seninya.

Berbanding AJL sebelum ini, kali ini saya rasa lebih tenang selepas selesai membuat persembahan. Saya memilih untuk mendengar kata hati sendiri.

“Saya perlu memberikan apa orang mahukan, tetapi pada masa sama perlu memberikan apa Aina Abdul patut lakukan. Jadi, itulah persembahan saya,” jelasnya.

Paling penting katanya, konsep gunung berapi dipilih sebagai simbol kemarahan dan pengkhianatan, selari dengan jiwa lagu Kamu.

Menurutnya, dia sengaja mencari elemen lebih mendalam berbanding persembahan lazim supaya mesej lagu dapat diterjemahkan secara visual.

“Memang sejak awal saya mahu menggunakan konsep gunung berapi, tetapi sebelum itu belum membuat keputusan sama ada mahu menghasilkan persembahan berskala besar atau kecil.

Gunung berapi menjadi simbolik kerana lagu ini berkisar tentang kemarahan dan pengkhianatan. Selain api, saya cuba fikirkan elemen lebih mendalam. Saya tidak mahu idea mudah dijangka kerana rasa marah itu sendiri boleh datang seperti letusan gunung berapi,” kongsinya.

Persembahan bertenaga Aina akhirnya membuahkan hasil apabila dia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persembahan Terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi.

Kemuncak malam AJL40 turut menyaksikan Aina menerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee dengan hadiah wang tunai RM50,000, selain dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026.

Terdahulu, kumpulan K.O.I yang membawakan lagu Tiwikarma dinobatkan sebagai juara AJL40, manakala Aisha Retno menerusi Tak Adil menduduki tempat kedua dan Reynald Guntabid dengan lagu Lumangad Oku Dika meraih tempat ketiga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok