SEBUT sahaja nama Jihan Muse pasti ramai membayangkan figura popular itu memegang mikrofon dan mengendalikan pentas utama sebagai pengacara.
Bagaimanapun, kelainan ditampilkan dalam penganjuran program Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026) apabila Jihan diberi amanah dan tanggungjawab baharu untuk duduk di kerusi juri tetap.
Menurut pemilik nama asal Jihan Musa, fokus utama program KES2026 bukan untuk menguji atau mencari vokal terbaik, sebaliknya lebih kepada wadah hiburan yang diselitkan dengan niat amalan kebajikan.
“Saya berharap semua juri, pengacara dan peserta dapat memberikan kerjasama yang baik untuk menjadikan rancangan ini sebuah program yang menghiburkan.
Matlamat utama adalah lebih kepada tujuan amal jariah dan hiburan semata-mata, bukannya untuk melihat siapa paling pandai atau paling merdu menyanyi.
“Kalau ada yang betul-betul pandai menyanyi, itu bonus untuk penonton,” katanya kepada HibGlam.

KILAUAN Emas Selebriti 2026 bakal menjadi daya tarikan terbaharu Astro apabila mengetengahkan penggiat seni berpengalaman tanah air.
Pengalaman sedekad
Bukan satu tugas mudah, isteri kepada pelakon Ungku Hariz yang memiliki pengalaman lebih sedekad mahu menggunakan kelebihan tersebut bagi membantu menguatkan persembahan setiap peserta.
“Saya sudah lebih 10 tahun berada di atas pentas rancangan siaran langsung. Jadi dari segi suasana dan aura itu kita sudah ada.
“Kita sudah boleh tahu sama ada persembahan itu menjadi atau tidak, seronok atau tidak, meremang atau tidak, bakal jadi kelakar atau bakal ‘flop’. Semua itu sudah boleh jangka.
“Apa yang saya harapkan, mungkin saya boleh kongsikan petua atau pengalaman berdasarkan program-program yang pernah saya kendalikan sebelum ini bersama barisan peserta ataupun sekurang-kurangnya memberi mereka semangat, bukannya untuk mengkritik,” jelasnya.
Menyedari kedudukannya yang perlu menilai rakan-rakan seindustri yang lebih berpengalaman, Jihan memilih pendekatan mesra dan bersedia menjadi ‘mata’ penonton di rumah.
“Mungkin saya lebih kepada memberi maklum balas seperti, ‘persembahan hari ini memang terbaik berbanding minggu lepas.’ Kita tak boleh nak mengajar mereka.
“Bagi saya, pandangan saya di kerusi juri adalah mewakili mata penonton seperti kakak kakak dan mak mak di rumah.
“Saya perlu berkongsi apa yang penonton di rumah suka dan kalau ada bahagian yang kurang, mungkin itu boleh diperbaiki untuk minggu seterusnya,” tutupnya.
KES2026 bakal bermula pada 22 Ogos depan akan menampilkan barisan selebriti senior popular seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Mubarak Majid, Fazlina Ahmad Daud, Khaty Azian, Rahim Omar, Maria Tunku Sabri, Zila Bakarin, Amyza Aznan dan Rashdan Baba.
Selain Jihan, program hiburan berkenaan menampilkan Datuk Yusry Abdul Halim menggalas tugas sebagai juri. – HIBGLAM
