DILABEL tidak profesional serta terlalu mencuba untuk kelihatan ‘gila-gila’, penyanyi Aisha Retno tidak menganggap gurauan dan sisi nakalnya sebagai sesuatu yang perlu dipadam daripada personaliti seorang anak seni.
Ujar Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, tiada salahnya untuk berseronok dan menunjukkan sisi santai dalam situasi tertentu, selagi masih tahu batas serta mampu membezakan antara gurauan dengan urusan profesional.
“Tidak salah untuk berseronok sedikit. Orang kata kita hidup hanya sekali, jadi jangan terlalu risau. Dengan didikan ibu bapa, saya tahu bila masa sesuai untuk menjadi ‘silly kacip’ dan bila tiba waktunya perlu serius dalam perbincangan kerja seperti dalam temu bual.
Saya enggan mengecewakan ibu bapa dengan pendidikan mereka berikan. Saya juga berterima kasih kepada Universiti Malaya kerana banyak membantu membentuk kemahiran perhubungan awam saya sehingga hari ini.
“Mungkin masih ada kesilapan di sana sini, tetapi pengalaman sedang mematangkan diri serta meningkatkan kesedaran saya. Insya-Allah, ketahuilah dahulu pangkal dan hujung sesuatu perkara sebelum membuat penilaian,” katanya dalam Threads.
Mengakui dirinya hanya manusia biasa, pelantun lagu Tak Adil tidak menafikan penat dengan perkara negatif dilemparkan terhadap dirinya menjelang pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Sejak kebelakangan ini, banyak perkara negatif dipetik tentang saya dalam perjalanan menuju AJL.
Saya sendiri tidak faham mengapa semua itu berlaku. Saya juga manusia biasa dan sudah penat berdepan perkara seperti ini.
“Tidak mengapa. Saya anggap semua ini sebagai ujian daripada Allah,” luahnya.
Luahan Aisha kemudian mendapat sokongan peminat, malah sebahagian mereka mengingatkannya supaya tidak terlalu mengambil hati terhadap kecaman netizen serta terus menjadi dirinya sendiri.
“Teruskan menjadi diri sendiri. Selagi Aisha tahu batas dan tidak menyakiti sesiapa, tidak perlu terlalu memikirkan kata-kata negatif.
“Orang akan tetap bercakap. Fokus pada muzik, kerja dan perkara baik. Kami sebagai peminat tetap menyokong Aisha,” antara komen peminat.
Sebelum ini, seorang netizen mendakwa Aisha sering membiarkan sisi ‘intrusive thoughts’ menguasai dirinya pada setiap kesempatan, termasuk ketika melakukan aksi ‘kacip’ menerusi mimik muka dan gaya tertentu sehingga disifatkan kurang profesional.
Netizen terbabit turut berpandangan seseorang artis perlu lebih berhati-hati dalam membawa personaliti kerana mereka bukan sahaja mewakili diri sendiri, malah mempunyai pengaruh terhadap masyarakat serta peminat. – HIBGLAM
