KEMUNCULAN semula Syatilla Melvin dalam dunia lakonan sentiasa menjadi pertanyaan ramai sejak memilih untuk ‘berehat’ sejak beberapa tahun lalu.
Bukan tawar hati atau merajuk, keputusan untuk berhenti seketika daripada lakonan adalah disebabkan kekangan jadual bisnes, tugas sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata.
Menurut pemilik nama penuh Siti Nur Syatilla Amirol Melvin itu, dia mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini kerana hatinya masih belum terbuka untuk kembali beraksi dalam mana-mana drama atau filem.
“Sebenarnya banyak yang tawarkan drama berepisod tetapi saya belum ada rasa nak kembali berlakon.
Keinginan dan rasa betul-betul rindu itu tiada. Kalau nak berlakon buat masa sekarang, memang belum lagi.
“Buat masa sekarang, kehidupan saya lebih fokus kepada keluarga terutama anak-anak,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya punca kehilangan tersebut, Syatilla yang baru dilantik sebagai duta kedai serbaneka, Mr DIY bersama suami, Shaheizy Sam memberitahu biarlah perasaan hanya disimpan dalam hati.
“Ada banyak sebab sebenarnya untuk saya rasa begitu tetapi biarlah semua itu simpan sendiri.
Saya rasa lebih selesa bekerja sendiri di rumah, senang nak uruskan masa dengan keluarga dan bisnes,” katanya yang pernah popular menerusi drama Sha & Shah bersama Kamal Adli.
Tiada perasaan untuk kembali berlakon, Syatilla bagaimanapun belum mahu sepenuhnya meninggalkan dunia hiburan yang diceburi sekitar 2009.
Dia juga tidak menolak kemungkinan akan kembali aktif pada masa akan datang.
“Saya bukan meninggalkan sepenuhnya dunia lakonan tetapi buat masa sekarang letak ‘koma’ sekejap di situ, bukan noktah ya.
“Kalau pada masa hadapan, anak-anak sudah besar, Sam pun ada masa untuk tengok anak-anak, mungkin saya akan ‘gila-gila’ semula,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Syatilla mengakui tawaran beberapa watak sebelum ini juga menjadi antara penolak untuknya tidak kembali beraksi di hadapan kamera.
Sudah tentu saya akan memilih watak dan banyak juga faktor yang saya rasa macam, ‘eh saya dah tak boleh begini begitu’ (limitasi).
“Perkara begitu yang saya perlu titikberatkan kerana melibatkan ramai orang. Kalau boleh tak mahu orang lain rasa saya seorang yang menyusahkan di set penggambaran,” ujarnya.
Tambahnya antara perkara yang perlu dijaga adalah babak melibatkan sebarang bentuk sentuhan atau keakraban dengan pelakon lain, terutama lelaki.
“Saya memang tak akan lakukan babak yang sentuh-sentuh. Nak berlakon rapat-rapat atau duduk sebelah lelaki lain pun rasa macam malu sekarang ini.
Kalau dahulu mungkin macam okey lagi tetapi sekarang walaupun hanya berdiri sebelah lelaki lain pun sudah rasa macam janggal.
“Jadi, untuk elak orang lain pula rasa tidak selesa, lebih baik saya tidak aktif buat masa ini. Cuma kalau sudah tiba waktunya nanti, insya-Allah akan berlakon semula,” kongsinya.
Adik-beradik
Bercerita tentang kehidupan dengan adik-beradiknya, Syafiqa Melvin, Syida Melvin, Syifa Melvin dan Melveena Melvin yang sering menjadi perhatian umum dalam media sosial, dia bersyukur kerana istilah bermasam muka atau pergaduhan besar tidak pernah wujud dalam kamus hidup mereka.
Bukan bercakap besar, Syatilla memberitahu kehidupan mereka empat beradik sentiasa dilindungi daripada berlaku sebarang permusuhan.
“Tak pernah bermasam muka. Saya tak perlu fikir untuk jawab sebab memang tidak berlaku dan insya-Allah tak akan jadi.
Alhamdulillah sejak kecil sehingga dewasa, Allah beri kami hubungan yang sangat istimewa dan keakraban ini satu bentuk rezeki besar daripada-Nya.
“Ditambah pula sekarang ini Allah uji dengan bapa kami tak sihat, ketika itu baru kita tahu kewujudan adik-beradik.
“Paling saya terharu dan seronok, kami lima beradik bersatu jaga ayah sama-sama sebab nak harapkan ibu seorang pun dia pun sudah tidak larat,” ujarnya.
Mengulas sama ada akan terus menyebelahi adik-beradiknya sekiranya salah seorang daripada mereka terlibat dengan sebarang isu termasuk kemelut rumah tangga, Syatilla berkata perkara tersebut akan dinilai secara rasional.
Kami tidak akan ‘back up’ kalau perkara itu salah walaupun dia adik atau kakak saya. Kalau buat salah, tetap salah.
“Walau bagaimanapun saya akan sentiasa pastikan adik-beradik berpihak kepada benda yang betul, nasib anak-anak sentiasa terbela dan hidup mereka selamat bersama keluarga,” akhirinya. – HIBGLAM
