PELAKON Norreen Iman berlapang dada apabila kerap menjadi mangsa sasaran kecaman netizen dalam media sosial terutama selepas muncul dengan imej tidak bertudung baru-baru ini.
Menurut Norreen, 32, dia tidak menolak bahawa konten media sosialnya juga memberi peluang percuma kepada netizen berdebat mengenai dirinya.
“Saya sudah melihat dan tahu apa yang orang sedang perkatakan tentang saya. Ada yang kelakar dan ada juga saya rasa agak keterlaluan tetapi tidak tersinggung.
“Sebab perjalanan saya dalam industri ini bermula melalui media sosial. Ada yang suka, ketawa, menyampah dan terdapat juga yang menganggap konten saya terlalu mengada-ngada.
Saya faham, sebab saya sendiri siarkan konten yang membuka ruang untuk orang berkata-kata. Jadi, saya tidak terkilan apabila orang mengecam atau membuli kerana orang akan terus bercakap berdasarkan hal yang mereka lihat dan dengar,” katanya dalam Threads hari ini.
Tambahnya, dia masih berlapang dada menerima setiap tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dan memilih untuk memaafkan selagi tidak memudaratkan.
“Selagi perkara itu bukan fitnah, saya maafkan sahaja kalian semua. kalian
Threads hanyalah satu lagi platform untuk orang bercakap, melepaskan kemarahan, menghabiskan masa, selain menjadi tempat untuk hiburan, mendapatkan maklumat dan ilmu. Jadi, bertenang sebab saya tidak marah.
“Kelakar juga tengok diri sendiri sampai menjadi ‘meme’ tetapi begitulah kehidupan. Kita semua sudah melalui pelbagai perkara dalam hidup, saya juga begitu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia mengakui bukan lagi berada dalam fasa mahu membalas setiap kutukan netizen seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Baginya hal yang paling penting ketika ini ialah menjaga dua anak, keluarga dan kesihatan mental sendiri.
“Kalau dahulu, memang saya akan membalas semula orang yang mengutuk, ‘pergi mampuslah dengan muka kau yang baru*h itu. Kau Fazura? Kalau bukan, kau diam’, itu dulu.
“Sekarang tidak lagi. Memandangkan usia sudah mencecah 30-an, saya mempunyai duaanak dan ibu yang perlu dijaga, utamakan diri sendiri, kesihatan mental dan keimanan harus dikekalkan,” jelasnya.
Mengulas mengenai perubahan penampilannya yang masih hangat menjadi bahan bualan ramai, dia mengakui kesalahan tersebut dan menyerahkan semuanya perjalanan hidup kepada Tuhan.
Mengenai perubahan diri, itu antara saya dengan Yang Maha Esa. Saya faham ada yang kecewa, marah, sedih dan menyampah, memang khilaf saya dan salah tetap salah.
“Apa pun, saya kena melawan diri sendiri juga. Semoga doa yang baik-baik itu kembali kepada kalian semua.
“Manalah tahu, daripada 50 orang yang mendoakan, mungkin ada satu atau dua doa yang diangkat dan dimakbulkan. Jadi, berbaik sahaja dengan orang lain,” ujarnya.
Terdahulu, Norreen mula meraih perhatian ramai selepas disahkan bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Mohd. Razzi Abd. Razak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 21 Mei lalu.
Bukan hanya bercerai, tindakannya tampil dengan imej tidak berhijab sejak sebulan lalu juga menjadikannya lubuk kecaman netizen dalam media sosia sehingga hari ini. – HIBGLAM
