Michele Yeoh dinobatkan Tokoh Perfileman Asia 2026 di BIFF

JASA terus diperakui, bintang Hollywood asal Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai penerima anugerah The Asian Filmmaker of the Year sempena Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) Ke-31 pada Oktober depan.

Pengiktirafan berprestij tersebut diberikan kepada individu atau organisasi yang memberi sumbangan luar biasa terhadap perkembangan industri perfileman Asia.

Menerusi kenyataan rasmi BIFF, Yeoh disifatkan sebagai pelakon versatil yang mengubah persepsi terhadap watak wanita dalam filem aksi sehingga muncul antara figura paling berpengaruh dalam sejarah sinema Hong Kong.

Menurut penganjur lagi, aktres berusia 64 tahun itu turut menjadi penanda aras kecemerlangan penggiat seni di benua ini apabila bergelar pelakon Asia pertama memenangi Anugerah Akademi iaitu membawa pulang trofi Oscar menerusi filem Everything Everywhere All at Once (2022), sekali gus merentas pelbagai genre dan budaya.

Menerusi karisma, gaya dan penghayatan yang mendalam, Yeoh terus cemerlang merentasi industri perfileman Asia dan Hollywood, selain memikat penonton di seluruh dunia,” katanya.

Yeoh memulakan kerjaya menerusi filem Yes, Madam! pada 1985 sebelum mencipta nama menerusi Police Story 3: Supercop, Wing Chun, Tomorrow Never Dies dan Crouching Tiger, Hidden Dragon.

Popularitinya terus memuncak menerusi filem Crazy Rich Asians, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings serta Wicked.

Terbaharu, pelakon berusia 64 tahun itu turut melakar sejarah sebagai wanita Asia pertama menerima Honorary Golden Bear pada Festival Filem Antarabangsa Berlin 2026, sekali gus mengukuhkan legasinya sebagai antara ikon terbesar dunia perfileman antarabangsa.

BIFF turut memaklumkan hubungan Yeoh dengan festival itu bermula sejak 2002 dan beberapa filem lakonannya pernah ditayangkan di sana.

Pada edisi kali ini, tiga filem pilihannya iaitu Reign of Assassins, Everything Everywhere All at Once dan Sandiwara akan dipertontonkan menerusi segmen khas Special Program in Focus, selain tayangan filem terbaharunya, It’s My Time.

Anugerah The Asian Filmmaker of the Year akan disampaikan pada majlis pembukaan BIFF Ke-31 di Busan Cinema Center pada 6 Oktober depan, manakala festival berlangsung sehingga 15 Oktober. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok