‘Masih ada pihak beri peluang, mendoakan saya’

DILIHAT tidak lagi muncul dalam mana-mana stesen televisyen sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penyanyi dan pelakon sensasi, Aliff Aziz mengakui tidak memiliki keupayaan untuk bercakap tentang perkara itu.

Menurut Aliff atau nama lengkapnya Mohammad Aliff Aziz, 35, dia percaya setiap rezeki dan tawaran dalam dunia lakonan sudah ditentukan dan dia juga tidak mampu mengawal atau mempengaruhi mana-mana pihak dalam aspek pemilihan pelakon untuk sebarang naskhah.

“Saya bukan bertugas di stesen televisyen (TV) tempatan. Jadi, saya sendiri tidak pasti dan tidak berani mengulas apa yang sebenarnya dibincangkan atau sama ada perkara itu benar atau tidak.

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa di mana ada rezeki, di situlah saya akan memberikan yang terbaik.

“Katakan selepas ini ada peluang di stesen TV tempatan, saya juga akan lakukan sebaik mungkin. Bukan dalam kawalan atau kuasa saya untuk menentukan siapa yang dipilih atau tidak dipilih,” katanya ketika ditemui di sidang media drama terbaru iQIYI, Madu Atau Racun, hari ini.

Mengulas sekiranya dakwaan berhubung perkara itu benar, Aliff mengakui dia tetap mempunyai perasaan seperti manusia lain, namun memilih untuk melihat setiap dugaan daripada sudut lebih positif.

“Sekiranya ada mendengar perkara seperti itu, sudah tentulah ada rasa sedih. Tetapi saya akan kembali mengingatkan diri bahawa mungkin Allah menyediakan sesuatu yang lebih baik.

“Apabila saya fikir ada yang lebih baik menanti, saya tidak terlalu tertekan. Walaupun ada yang berkata mereka tidak mahukan saya berada di sesuatu tempat, Alhamdulillah masih ada pihak lain yang memberikan peluang,” katanya.

Pada masa sama, juara Gegar Vaganza musim kelapan itu bersyukur kerana masih diberi ruang untuk terus berkarya biarpun berdepan pelbagai persepsi dan kritikan.

“Saya sangat bersyukur. Bukanlah saya hendak menunjuk atau berkata, ‘tengok, saya masih ada’, tidak. Rezeki itu ada di mana-mana. Jadi, apabila peluang itu datang kepada saya, saya akan menghargainya dan memberikan yang terbaik.

“Dalam banyak-banyak komen negatif, saya percaya masih ramai yang mendoakan saya, sama ada secara terbuka mahupun secara diam-diam. Saya benar-benar percaya kepada perkara itu,” jelasnya.

Sebelum ini, ketiadaan Aliff menerusi sebarang naskhah di layar kaca televisyen tempatan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penonton termasuk ada yang mendakwa aktor kelahiran Singapura itu ‘digam’ daripada muncul dalam saluran TV tempatan.

Dalam perkembangan lain, Aliff bakal muncul dengan drama Madu Atau Racun arahan Eyra Rahman yang bakal menemui penonton menerusi platform iQIYI mulai 14 Ogos ini.

Dalam drama 12 episod itu, dia bergandingan dengan heroin sensasi, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok