KOMPOSER, Julfekar dan isteri tercinta, penyanyi Min Yasmin masih memikirkan nama bersesuaian untuk putera sulung mereka yang selamat dilahirkan pada 16 September lalu.
Julfekar berkata, setakat ini hanya pangkal nama Muhammad sahaja yang sudah ditetapkan dan selebihnya belum diputuskan.
“Pastinya nama anak lelaki kami bermula dengan Muhammad.
“Dua anak lelaki saya hasil perkahwinan terdahulu juga memiliki pangkal nama sama.
“Oleh itu, saya dan Min menetapkan untuk kekalkan pangkal nama ini untuk anak kami yang baru lahir ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK), Sabah hari ini.
Mengulas lanjut, Julfekar yang tiba di Sabah dari Filipina awal pagi semalam (Sabtu) berkata, bukan sahaja belum memilih nama penuh malahan persiapan menyambut kehadiran putera sulung mereka itu juga belum dibuat secara keseluruhan.
Menurut bapa kepada lima cahaya itu, dia sendiri tidak menyangka Min akan bersalin awal dari tarikh jangkaan, apa lagi ketika dia berada di Filipina.
Bagaimanapun, Julfekar menzahirkan rasa lega dan gembira dapat menyelesaikan semua urusan kerja seterusnya pulang ke Sabah lebih awal untuk berada di sisi isteri dan anak tercinta.
Terdahulu, Julfekar dan Min Yasmin diijabkabul pada 4 April 2014 di Masjid Kota Damansara yang disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid berkenaan, Mohd Arip Johdi.
Selepas 10 tahun bergelar suami isteri, Min Yasmin atau nama lengkapnya Nurul Yasmin Abdul Aziz berkongsi berita gembira hamil empat bulan pada Jun lalu.
Sementara itu, Min Yasmin memaklumkan kesihatannya kini semakin baik namun masih perlu berkampung di hospital untuk pemantauan doktor.
“Anak turut menunjukkan perkembangan positif. Sewaktu dilahirkan berat anak kami 880 gram dan kemudiannya berkurang kepada 810 gram.
“Selepas Min kerap memberikan susu ibu, beratnya kini bertambah menjadi 870 gram.
“Min mahu menyusukan bayi kami sepenuhnya dengan susu badan agar dia dapat khasiat yang sepatutnya.
“Cuma, anak perlu berada dalam inkubator selama dua bulan kerana lahir pramatang,” katanya yang melahirkan anak secara pembedahan berikutan tekanan darah tinggi tidak menentu. – HIBGLAM