DIKECAM gara-gara menawarkan wang hantaran berupa emas sejumlah RM1 juta buat wanita yang sedia menjadi isterinya, usahawan Abiejam tampil menjelaskan tindakan tersebut hanyalah gurauan semata-mata.
Abiejam atau nama sebenarnya Mohd. Khairul Nizam Wahiddin memohon maaf sekiranya kandungan yang dimuat naik dalam media sosial tersebut menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan orang ramai.
“Sebenarnya video cari isteri dan hantaran RM1 juta itu sekadar gurauan dan hiburan bagi memperkenalkan perniagaan emas saya.
“Kalau ada yang terasa atau salah faham, saya minta maaf dari hati.
“Tak sangka pula ramai yang ambil serius bila bab berkahwin ini sedangkan itu sekadar gurauan saja,” katanya.
Menjelaskan lanjut, Abiejam mengakui tidak terkesan dengan kecaman yang diterima namun hairan dengan pertanyaan sesetengah pihak mengenai kemampuannya dalam perhubungan
“Saya tidak terasa hati dengan komen netizen yang berbaur kecaman dan penghinaan apabila saya bergurau mengenai soal perkahwinan ini.
“Cuma saya pelik mengapa ramai suka bertanya soalan yang sensitif dan membuat pelbagai andaian.
“Saya mungkin tak mampu berjalan, tetapi mampu mencintai, menghargai dan membahagiakan wanita yang Allah takdirkan untuk saya.
“Ciri-ciri wanita pilihan saya mudah sahaja. Baik hati, penyayang, ikhlas, memahami dan menerima keadaan saya sebagai seorang OKU (orang kurang upaya),” luahnya.
Berkenaan wang hantaran RM1 juta, abang kepada pempengaruh Siti Jamumall itu mengakui nilai tersebut merupakan simbolik kepada tanggungjawab seorang lelaki untuk membina rumah tangga.
“Nilai hantaran itu bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya simbol kesungguhan dan tanggungjawab. Ramai menilai kemampuan seorang lelaki hanya berdasarkan fizikal atau pandangan luaran.
“Soal hantaran hanyalah simbol. Yang lebih penting ialah keikhlasan, kesetiaan dan bagaimana seorang suami menjaga maruah serta kebahagiaan isterinya.
“Jadi, wang hantaran RM1 juta itu bukan soal angka, sebaliknya mesej bahawa saya serius terhadap institusi perkahwinan,” tambahnya.
Sebelum ini, Abiejam memuat naik kandungan mahu mencari isteri dan menawarkan nilai hantaran sebanyak RM1 juta.
Namun, kandungan tersebut merupakan sebahagian daripada gimik pemasaran bagi mempromosikan perniagaan emas terbaharu miliknya.- HIBGLAM
