BAGI mengukuhkan ekosistem ekonomi kreatif negara, Asia Leaders in Cinematics Incubation (ALCI) melancarkan visi baharu menerusi gabungan industri perfileman, teknologi digital, keusahawanan, dan pembangunan bandar kreatif di bawah satu platform.
Membawa tema ‘From Movie to Wallet to City’, inisiatif berkenaan disifatkan sebagai strategi jangka panjang yang menjadikan industri kreatif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi utama, sekali gus memberi manfaat kepada penggiat industri, pelabur, usahawan serta sektor pelancongan.
Pengasas ALCI, Aaron Lim berkata, pihaknya tidak mahu sekadar berfokus kepada penghasilan filem semata-mata, sebaliknya komited membangunkan sebuah ekosistem kreatif yang mampu memberi impak ekonomi secara mampan.
“Kisah membentuk budaya, budaya mencipta peluang dan peluang menjana pertumbuhan ekonomi.
“ALCI bukan sekadar menghasilkan filem tetapi membina sebuah ekosistem kreatif yang mampu memberi nilai mampan kepada industri, masyarakat, dan generasi akan datang,” katanya pada majlis pelancaran visi ALCI, baru-baru ini.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, ALCI turut memeterai kerjasama dengan beberapa rakan strategik tempatan dan antarabangsa bagi memperkukuh pembangunan industri kreatif negara.
Antara kerjasama rakan strategik dan projek yang diumumkan Horizon Film Entertainment Sdn. Bhd. untuk filem-filem dari Taiwan, Indonesia dan Thailand, Synergy Media (appiness Chopstick- Hong Kong), filem Hear the Lihht dengan Singapura, Asia Showbiz Talent Malaysia dan Hong Kong , ABCS, Six in the City , program HRDC ‘Performing for Cameras, penghasilan filem tempatan berjudul Moyang.
Pada majlis yang sama, ALCI turut memperkenalkan tiga inisiatif strategik utama untuk memacu industri iaitu siri Dokumentari Film in Malaysia.
Penerbitan siri 13 episod yang mempromosikan setiap negeri sebagai destinasi penggambaran bertaraf antarabangsa, di samping mengetengahkan keunikan budaya, pelancongan, dan potensi ekonomi tempatan.
Selain itu, ALCI mengumumkan ALCI Digital Wallet iaitu ekosistem dompet digital yang menghubungkan pengguna, peniaga, dan industri kreatif menerusi tawaran ganjaran, pulangan tunai serta pengalaman hiburan interaktif.
Dalam masa sama, ALCI mahu memperkukuh inisiatif penerbitan filem cereka, dokumentari, siri televisyen, dan kandungan digital bersama syarikat tempatan serta antarabangsa bagi membuka peluang pelaburan dan pemindahan teknologi.
ALCI turut memperkenalkan visi Creative Economic City, iaitu sebuah pelan induk jangka panjang untuk membangunkan hab ekonomi kreatif bertaraf dunia yang menggabungkan studio filem, pusat pendidikan, teknologi, pelancongan, dan inovasi.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelantikan ahli Lembaga Pengarah Strategik, Penerbit Bersekutu, serta rakan kerjasama baharu bagi memperkukuh cengkaman ALCI di peringkat tempatan dan antarabangsa. – HIBGLAM
