PENYANYI Mawi mendedahkan bapanya pernah rebah sehingga pengsan akibat terlalu penat melayan kehadiran peminat ketika fenomena ‘Mawi World’ berada di kemuncak populariti sekitar 2005.
Ujar Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 44, bapanya sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi menghargai setiap individu yang datang menemuinya biarpun sudah beberapa hari tidak cukup rehat.
“Ayah tetap melayan peminat walaupun sudah dua atau tiga hari tidak tidur. Orang lain sudah penat dan saya minta dia tutup pintu untuk berehat sekejap, tetapi ayah kata, ‘jangan, orang datang kena layan’.
“Sampailah ayah pengsan dekat masjid. Itulah kali pertama saya pulang ke kampung selepas keluar daripada Akademi Fantasia,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Menurut pelantun lagu Kian tersebut, suasana ketika itu begitu luar biasa sehingga seluruh kampung dipenuhi orang ramai yang ingin melihatnya dari dekat.
Katanya, selepas dibawa ke sebuah padang awam, ketua kampung meminta dia mengajak orang ramai menunaikan solat Maghrib di masjid.
“Mereka bawa saya ke padang awam, tetapi ketika itu sudah hampir waktu maghrib. Ketua kampung minta saya ajak semua pergi solat di masjid.
“Apabila saya ajak mereka, semua terus melaungkan ‘Allahu Akbar!’. Saya jadi panik dan pada waktu itulah bapa saya pengsan dalam masjid. Orang terus mengejar saya dan bapa saya,” ujarnya.
Tambahnya, keadaan menjadi semakin sukar apabila orang ramai mengerumuninya sehingga dia sendiri tidak dapat menunaikan solat dengan tenang.
“Saya tak boleh nak solat sebab orang berkerumun dekat tempat imam. Imam suruh saya duduk dalam satu bilik, kunci pintu dan buat solat jamak.
“Lepas orang dalam masjid keluar, mereka datang pula ke tingkap bilik tempat saya duduk sambil mengetuk dan berkata, ‘Buka tingkap, aku dah undi kau! Jangan sombong, jangan berlagak’,” kongsinya.
Untuk rekod, fenomena ‘Mawi World’ tercetus selepas Mawi muncul juara Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005 sehingga mencipta gelombang luar biasa dalam industri hiburan tanah air.
Popularitinya terus memuncak apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) selama dua tahun berturut-turut, iaitu pada edisi 2006 dan 2007. – HIBGLAM
