Takkan hantar sebarang pencalonan Anugerah Grammy – BTS

KUMPULAN sensasi K-Pop, BTS mengejutkan industri muzik antarabangsa apabila mengumumkan tidak akan menghantar pencalonan untuk  Anugerah Grammy 2027.

Keputusan itu dipercayai dibuat sebagai tanda bantahan terhadap kategori baharu, Best Asian Pop Music Performance yang diperkenalkan Recording Academy untuk edisi anugerah akan datang.

BTS menegaskan mereka mahu karya muzik dinilai berdasarkan seni dan kualiti, bukannya dikelaskan mengikut rantau atau bahasa.

“Kami memutuskan untuk tidak menghantar sebarang pencalonan Anugerah Grammy tahun ini. Kami berharap muzik kami didengar dan dihargai seadanya, bukan dibahagikan mengikut wilayah atau bahasa,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Langkah berani itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat serta pemerhati industri muzik.

Walaupun kategori baharu tersebut diperkenalkan dengan tujuan memberi lebih pengiktirafan kepada artis Asia, ramai berpendapat ia secara tidak langsung mengasingkan artis K-pop, J-pop dan C-pop daripada kategori arus perdana yang lebih berprestij.

BTS sebelum ini mencipta sejarah sebagai kumpulan K-pop pertama menerima pencalonan Grammy dan mendapat lima pencalonan sepanjang karier mereka.

Namun, sehingga kini mereka masih belum pernah membawa pulang trofi Grammy biarpun lagu Dynamite dan Butter antara karya yang disebut-sebut sebagai pemenang.

Keputusan untuk tidak menyertai Grammy dianggap signifikan memandangkan album terbaharu mereka, ARIRANG dikatakan antara karya  berpotensi besar meraih pencalonan dalam kategori utama iaitu ‘Album of the Year’ dan ‘Song of the Year’.

Pengunduran BTS dijangka memberi impak besar terhadap acara berprestij tersebut memandangkan kumpulan itu merupakan antara nama paling berpengaruh dalam industri muzik global, selain memiliki jutaan peminat setia seluruh dunia.

Selain BTS, antara artis lain yang pernah memboikot anugerah itu ialah Eminem, The Weeknd, Drake dan Frank Ocean. –  HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok