‘Bukan mudah, menangis kami, pembantu rumah jaga mak’

PENYANYI Nubhan mengakui menjaga orang tua diuji masalah kesihatan bukanlah tugas mudah malah menutut kesabaran yang tinggi.

Menurut Nubhan atau nama lengkapnya Ahmad Nubhan Ahamad, 40, situasi sedemikian bukanlah bermaksud seseorang itu tidak ikhlas tetapi lumrah manusia biasa yang ada had keupayaan fizikal dan emosi.

“Betul orang cakap, bukan mudah nak jaga orang tua yang sakit. Ada masa kita kuat, ada ketika penat dan cuma mampu menangis saja.

“Bukan sebab tak ikhlas atau tak sayang tapi kita juga manusia, ada batas tenaga serta emosi,” katanya dalam sebuah video.

Berkongsi lanjut, pelantun lagu Kekasih Untukku itu, ibunya, Badariah Omar atau lebih dikenali sebagai Mak Jenny kini semakin sensitif sekali gus memberi cabaran buat ahli keluarga mahupun pembantu rumah yang diamanahkan untuk menjaganya.

“Kasihan pembantu rumah yang jaga mak. Bila tak sihat, mak agak emosi dan meragam sikit.

“Sampai menangis pembantu rumah yang jaga mak, kami adik-beradik pun hadap benda yang sama juga.

“Tabik dekat kalian yang tengah jaga orang tua sakit. Memang mencabar mental dan fizikal, semoga kita semua kuat serta tabah,” jelasnya.

Dalam masa sama, Nubhan menitipkan kata-kata semangat buat orang ramai yang berdepan ujian sama ketika menggalas tanggungjawab menjaga ibu bapa yang uzur.

“Untuk semua yang jaga mak ayah, yang tak cukup tidur, penat fizikal dan mental, kadang-kadang hampir hilang sabar, sabarlah.

“Semoga Allah kuatkan hati kita. Mungkin orang tak nampak pengorbanan itu.

“Tapi Allah nampak setiap satunya. Hari ini mungkin terasa berat tapi mudah-mudahan setiap lelah itu menjadi jalan kita menuju syurga,” ujarnya.

Sebelum ini, Nubhan berkongsi keadaan terkini Mak Jenny tidak sihat selepas terjatuh yang mengakibatkan patah tulang pinggul serta kaki. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok