‘Pelik! Selalu lewat tetap dapat tawaran berlakon’

PELAKON Nadia Brian mempersoalkan sikap segelintir selebriti yang masih menerima tawaran berlakon walaupun kerap hadir lewat ke lokasi penggambaran.

Namun, Nadia atau nama penuhnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 35, berpendapat pelakon yang berdisiplin komited pula sering dipinggirkan tanpa menerima peluang yang adil.

“Pelik betul. Ada sesetengah artis yang hampir setiap hari datang lewat ke lokasi penggambaran tetapi masih tetap dapat tawaran berlakon.

Manakala, artis yang sentiasa komited, menepati masa dan bagi 100 peratus pada kerja pula tak dapat peluang yang sama, pelik kan?,” katanya dalam Threads.

Sebagai anak seni, bintang filem Eva itu sentiasa memastikan sebarang kelewatan yang tidak dapat dielakkan dimaklumkan lebih awal kepada pihak produksi bagi mengelak kesulitan.

Sudah semestinya saya selalu tepati waktu. Kalau lambat pun biasanya tak lebih 30 minit dan saya mesti akan beritahu pasukan produksi awal-awal.

“Setakat ini, alhamdulillah saya tak pernah buat masalah dengan mana-mana produksi yang saya kerja,” katanya lagi.

Sebelum ini, isu disiplin membabitkan kehadiran ke lokasi penggambaran turut pernah dibangkitkan pelakon Fasha Sandha yang menegur sikap rakan sekerja kerana kerap lewat sehingga menjejaskan kelancaran kerja keseluruhan pasukan produksi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok