PELAKON yang cukup dikenali menerusi drama Impian Ilyana, Lydia Ibtisam, 45, disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam kisahnya keadaan kesihatannya diberitakan media tempatan.
Berita pemergian Allahyarham Lydia atau nama lengkapnya, Nur Lydia Ibtisam Abdul Wahab dikongsikan pelakon Mimi Ernida menerusi hantaran di Threads yang memaklumkan Lydia menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi.
Assalamualaikum… Nur Ibtisam binti Abdul Wahab (Lydia Ibtisam) baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Al-Fatihah,” tulisnya.
Penyanyi Elliza Razak turut mengesahkan berita duka itu menerusi perkongsian di InstaStory miliknya.
Terdahulu, Elliza yang juga sahabat baik Allahyarham memohon orang ramai mendoakan kesihatan Lydia yang berada dalam keadaan kritikal akibat komplikasi penyakit autoimun serta jangkitan kuman yang menjejaskan fungsi organ dalamannya.
Menurut Elliza, Allahyarham telah beberapa kali menerima rawatan di hospital sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot sejak kebelakangan ini.
Allahyarham Lydia Ibtisam dikenali menerusi lakonannya dalam drama Impian Illyana dan pernah membintangi beberapa naskhah televisyen lain termasuk Dunia Anita dan Realiti sepanjang pembabitannya dalam industri seni tanah air. – HIBGLAM
