PELAKON dan usahawan Syatilla Melvin bersyukur suaminya yang juga aktor Shaheizy Sam banyak membantu menjaga bapanya, Amirol Melvin Abdullah yang kini diuji dengan penyakit kanser darah dan komplikasi jantung.
Syatilla atau Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 35, berkata, tenaga seorang lelaki sangat diperlukan terutama untuk memapah dan memegang bapanya yang kini dalam keadaan lemah.
“Sam sangat membantu sebab kami tidak ada adik-beradik lelaki. Jadi, memang mengharapkan menantu.
Kalau macam ayah nak pergi ke mana-mana atau ingin keluar ambil angin, kami perlukan kudrat lelaki untuk papah dan pegang dia.
“Apa pun, doakan yang baik-baik untuk ayah saya,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran MR DIY Club, hari ini.
Dalam masa sama, dia berkata, sebarang prosedur dan pembedahan sukar dijalankan susulan keadaan bapanya yang semakin uzur.
“Nak cakap baik itu tidaklah tetapi saya tak putus-putus mendoakan supaya Allah mudahkan urusan. Insya-Allah sebab umur dia pun sudah 80 tahun.
Jadi, kalau nak buat sebarang prosedur atau pembedahan, memang sangat berisiko. Sekarang hanya bergantung pada ubat dan doa orang ramai. ‘
“Sekarang jaga ayah bergilir-gilir dengan adik-beradik lain. Seminggu saya jaga dan minggu seterusnya adik-beradik lain pula tapi kalau ada masa lapang, memang semua akan balik,” ujarnya.
Kongsinya, keadaan beberapa organ bapanya termasuk jantung dan buah pinggang semakin lemah.
Tambah Syatilla, bapanya juga kini telah dibawa pulang ke rumah beberapa lalu selepas menjalani rawatan di hospital sejak awal Julai.
“Sebenarnya ayah mula sakit disebabkan leukemia, kanser darah. Daripada kanser darah itu, mula merebak ke organ lain
Jantung dia pun semakin lemah, tahap fungsi pula ketika ini hanya 27 peratus dan buah pinggang juga sudah lemah, memang banyak benda berkait-kait tetapi keadaannya ketika ini stabil.
“Sekarang ayah sudah keluar hospital dan berada di rumah, kami bawa pulang beberapa hari lalu. Doktor pun sudah tidak boleh buat apa-apa dan minta kami bawa pulang,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Syatilla dan Sam dilantik sebagai duta MR DIY Club yang mula dilancarkan hari ini.
Saya dan Sam amat berbesar hati dengan tawaran ini ditambah pula kami sekeluarga memang pelanggan tegar MR DIY.
“Dengan adanya MR DIY Club, pelanggan kini boleh menikmati ganjaran untuk diri mereka juga selepas berbelanja di kedai kegemaran ramai ini,” jelasnya.
Terdahulu, Syatilla kerap berkongsi perkembangan kesihatan bapanya dalam media sosial sejak dimasukkan ke hospital akibat penyakit lemah jantung.
Dia juga turut memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan agar kesihatan bapanya kembali pulih. – HIBGLAM
