‘Moga pengiktirafan ini beri inspirasi kepada generasi muda’

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan Ijazah Kehormat Sarjana dalam bidang Seni Kreatif dan Media dari Sunway Universiti hari ini merupakan salah satu penghormatan besar buat dirinya yang bergelar anak seni sejak tiga dekad lalu.

Menurut Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, pengiktirafan tersebut dilihat sebagai satu penghargaan besar Universiti Sunway terhadap industri seni tempatan.

“Syukur Alhamdulillah, pengiktirafan ljazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Sunway University ini adalah satu penghormatan yang sangat besar.

“Ini bukan sahaja penghargaan untuk perjalanan seni saya seorang tetapi juga satu pengiktirafan tertinggi buat seluruh warga industri muzik dan seni kreatif tanah air.

Terima kasih kepada pihak pengurusan Universiti Sunway di atas penghormatan yang cukup bermakna ini,” katanya.

Dalam pada itu, dia berharap kejayaan tersebut menjadi pencetus semangat dan inspirasi kepada orang ramai dan anak seni lain khususnya generasi muda untuk terus menghasilkan karya-karya seni hebat pada masa akan datang.

Jelasnya, usaha tersebut mampu mengangkat martabat karya seni tanah air ke peringkat lebih tinggi.

“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa bidang seni kreatif dan media adalah satu profesion yang sangat berprestij serta dihormati oleh dunia akademik.

Semoga anugerah ini menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dan pengamal seni tempatan untuk terus berkarya dengan mutu yang tinggi, beretika serta membawa seni budaya kita ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Terdahulu, Universiti Sunway dalam satu kenyataan memberitahu pemberian anugerah tersebut adalah sebagai tanda penghargaan terhadap jasa, sumbangan serta perjalanan panjang Siti sejak berkecimpung dalam industri seni tanah air.

Siti pada November tahun lalu juga dilantik Profesor Adjung dalam bidang keusahawanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkuat kuasa 15 Oktober 2025 sehingga 15 Oktober 2027.

Sebelum itu, dia juga pernah filantik sebagai pakar di Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCced) untuk tempoh dua tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok