PENYANYI Wani Syaz menganggap perbezaan usia hampir enam tahun dengan tunangnya, Habib Safwan bukan halangan untuk mereka menjalani hidup sebagai pasangan suami isteri kelak.
Wani atau nama sebenarnya Nursyazwani Selamat, 29, berkata, keperibadian serta kesungguhan ditunjukkan lelaki berusia 23 tahun itu sepanjang persahabatan membuka pintu hatinya untuk kenal dengan lebih rapat.
“Sebenarnya kami berkenalan ketika sambutan hari jadi saya sekitar tahun 2023. Saya bawa pekerja saya makan malam di sebuah restoran dan salah seorang daripada mereka bawa kawan iaitu Habib.
Selepas itu saya perasan Habib kerap ‘like’ hantaran saya di media sosial malah kalau buat ‘live’ pun nama dia ada. Saya tak rasa apa-apa sebab dia panggil saya kakak. Beza umur kami enam tahun, waktu itu dia 20 tahun, saya 26 tahun.
“Kami cuma berkomunikasi dalam laman sosial, sampailah setahun selepas itu umi (ibu) maklumkan Habib nak berkawan dengan saya. Rupa-rupanya dia minta izin umi dulu. Itu yang buatkan dia istimewa,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Terdahulu, penyanyi lagu Alhamdulillah itu berkongsi gambar pertunangan dalam Instagramnya semalam selepas sebulan acara berlangsung.
Menurutnya, pada majlis yang berlangsung 27 Jun itu di kampungnya di Batu Pahat, Johor, pihaknya hanya mengundang ahli keluarga terdekat.
Bukan berniat merahsiakan khabar gembira, cuma itu majlis kecil sahaja. Sekitar 100 tetamu. Insya-Allah kenduri nanti kami sekeluarga jemput ramai lagi,” ujarnya.
Pada masa sama, Wani mengakui masih dalam fasa mengenali hati budi jejaka asal Senai, Johor itu, malah berkata kecenderungan dalam dunia perniagaan juga mendekatkan hubungan mereka.
“Saya berniaga makanan, begitu juga Habib yang membantu keluarganya mengusahakan perniagaan nasi ayam hainan.
Jadi kiranya minat kami serupa dan dia turut memberikan sokongan kepada saya agar terus aktif di bidang seni suara,” ujarnya.
Berkongsi mengenai perancangan perkahwinan, keluarga kedua-dua belah pihak sepakat menyatukan mereka pada pertengahan tahun depan.
“Insya-Allah, jika tiada aral kami disatukan tahun depan. Bertunang dalam tempoh setahun. Doakan semuanya lancar,” katanya. – HIBGLAM
