Watak Rasyid dibenci, akhirnya disayangi, Alif Hadi syukur lakonan dipandang

MENCURI perhatian menerusi watak Rasyid dalam drama Ikatan Terlarang, pelakon Alif Hadi mengakui tidak pernah menyangka karakter penuh konflik dibawakannya akhirnya berjaya menambat hati penonton selepas pada awalnya dibenci ramai.

Memasuki minggu-minggu terakhir siaran drama tersebut, Alif, 38, berkata perubahan penerimaan penonton menjadi hadiah paling bermakna sepanjang menghidupkan watak lelaki bergelut dengan pelbagai ujian hidup itu.

Ujarnya, reaksi penonton dalam media sosial membuktikan perkembangan karakter Rasyid berjaya menyentuh emosi ramai sehingga persepsi terhadap watak tersebut berubah sepenuhnya.

“Perkara paling menyeronokkan apabila saya melihat perubahan penerimaan penonton. Saya baca banyak komen dalam Threads. Pada mulanya ramai benci Rasyid sebab dia sering menimbulkan masalah dalam keluarga.

“Tetapi apabila jalan cerita berkembang, mereka mula faham mengapa Rasyid menjadi begitu,” katanya.

Tambahnya, dia turut terharu melihat kesungguhan penonton mengikuti setiap perkembangan watak sehingga babak-babak kecil turut menjadi bualan.

“Ramai juga berkata sebenarnya dialah hero sebenar kerana banyak menyelamatkan keluarga dan membantu Azura mendapatkan semula syarikat.

“Babak mata dicucuk, ditampar dan pelbagai lagi, semuanya penonton beri perhatian. Apabila orang bercakap tentang karakter yang kita bawa, itulah kepuasan sebenar sebagai pelakon,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Alif menyifatkan Rasyid sebagai karakter paling mencabar pernah dilakonkan kerana perlu melalui perjalanan emosi yang begitu berat.

Dia jugamenitipkan pesanan kepada golongan lelaki di luar sana yang mungkin melalui situasi hampir sama dengan karakter tersebut.

“Rasyid bukan orang jahat, cuma dia kesunyian dan keadaan mentalnya tidak stabil. Selepas Azura memberi semangat, dia cuba berubah menjadi insan lebih baik, tetapi dugaan tetap datang bertimpa-timpa.

“Kena kuat, kena sabar dan jangan mengikut emosi. Percayalah setiap perkara berlaku atas perancangan Allah dan pasti tersimpan hikmah di sebaliknya,” ungkapnya.

Berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran, Alif berkata hubungan erat bersama barisan pelakon membuatkan suasana di lokasi terasa seperti sebuah keluarga kerana hampir 80 peratus babak dirakamkan dalam sebuah rumah.

Lebih menggembirakan, watak itu turut membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya selepas lebih 15 tahun bergelar pelakon.

“Sampai sekarang saya masih rasa seolah-olah Rasyid masih ada dalam diri saya.

“Sebelum ini ramai tidak pernah melihat saya berlakon dalam platform atau slot drama besar. Apabila orang mula nampak bakat dan menghargai usaha saya, segala penat lelah lebih 15 tahun terasa berbaloi.

“Saya tidak perlukan apa-apa balasan. Cukuplah orang menghargai hasil kerja saya. Alhamdulillah, sekarang tawaran lakonan juga semakin bertambah,” luahnya.

Drama 28 episod terbitan iFAME (iFabulous Art, Media & Event) arahan Riza Baharudin itu disiarkan di Astro Ria turut dibintangi Erysha Emyra, Hisyam Hamid, Mawar Rashid, Raja Azura dan Arash Mohamad. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok