MENCACAH tatu mungkin satu proses mudah, namun untuk memadamnya menuntut kekuatan dan keberanian.
Bagi beberapa selebriti wanita Indonesia, mereka mengejutkan dunia hiburan apabila mengambil keputusan memadam tatu yang selama ini ‘bersarang’ pada tubuh mereka.
Atas alasan demi mendapatkan tawaran kerja, penghijrahan, status mualaf sehinggalah demi kebahagiaan diri serta keluarga, HibGlam menyenaraikan antara transformasi paling berani artis wanita yang memilih untuk kembali tampil dengan kulit mulus tanpa ‘ukiran dakwat’ keghairahan hidup masa lalu.
Nikita Mirzani

SERING kali dihimpit kontroversi, Nikita Mirzani menjadi antara artis yang memilih untuk memadam tatu bertuliskan namanya pada bahagian atas dada.
Rupa-rupanya, Nikita, 40, kerap gagal mendapatkan tawaran kerja disebabkan tatu tersebut nampak jelas setiap kali dia mengenakan busana yang agak terdedah.
Pelantun lagu Baby I Hate You itu juga menyatakan bahawa faktor usia yang semakin meningkat membuatkan dia rasa sudah tidak manis lagi untuk memiliki tatu.
Cinta Penelope

PENYANYI Cinta Penelope memilih untuk memadam tatu yang terukir di tangannya.
Ini kerana tatu tersebut sering membuatkan dia teringat kisah silamnya bersama seseorang.
Tatu itu difahamkan bertulis perkataan ‘Dika sayang Cinta’.
Meskipun terpaksa menahan kesakitan, wanita berusia 39 tahun itu menegaskan dia tidak pernah menyesal mencacah tatu pada tubuhnya suatu ketika dahulu.
Pelantun lagu Sabda Cinta itu juga mahu menghargai pasangannya pada masa hadapan supaya hubungan percintaan mereka menjadi lebih harmoni tanpa diganggu kisah lama.
Dewi Perssik

PENYANYI dangdut, Dewi Perssik mempunyai tatu yang disembunyikan pada bahagian paha kanan dengan tulisan ‘Broken Angel’.
Menurut Dewi, tatu itu sekadar suka-suka dan mengikut trend yang sedang meletup pada ketika itu.
Namun lama-kelamaan, dia mula berasa bosan dan tidak selesa dengan keberadaan tatu pada tubuhnya.
Wanita berusia 40 tahun itu juga berpandangan bahawa kebanyakan lelaki lebih menyukai wanita yang memiliki kulit mulus tanpa sebarang celaan tatu.
Perkara itu menjadi motivasi utama dia nekad memadam tatu tersebut dan sanggup melalui proses cukup menyakitkan.
Nathalie Holscher

PENYANYI Nathalie Holscher antara artis seberang yang mengambil keputusan untuk memadam tatu pada tubuhnya.
Selepas nekad mendirikan rumah tangga dengan pelawak terkenal, Sule, wanita berusia 33 tahun itu memeluk Islam.
Sebelum mendirikan rumah tangga dan menjadi mualaf, Sule pernah mencabarnya untuk memadam tatu.
Ibu kepada seorang anak lelaki itu menyahut cabaran tersebut dan merealisasikan niatnya untuk membersihkan tatu daripada tubuhnya.
Malah, Sule turut setia menemani Nathalie sepanjang proses memadam tatu tersebut berlangsung.
Namun, dikhabarkan mereka bercerai pada Ogos 2022 dan Nathali berkahwin dengan Arif Fadli pada Julai 2026.
Olla Ramlan

MENJALIN hubungan cinta dengan Aufar Hutapea pada Disember 2012 menjadi inspirasi buat pelakon Olla Ramlan untuk memadam tatu pada tubuhnya.
Tidak hanya sekadar bercakap kosong, Olla atau nama asalnya Febiolla Ramlan itu membuktikan kata-katanya.
Tindakan tersebut mengejutkan Aufar kerana menyangka mereka hanya ke klinik pakar gigi.
Sebagai teman lelaki, Aufar bagaimanapun mengakui gembira dengan keputusan pelakon siri Walid The Series itu.
Begitupun, Aufar pernah menyatakan dia tidak mahu Olla melakukan perkara tersebut semata-mata kerana dirinya.
Pada Jun 2022, mereka berpisah dan Olla kini sedang hangat bercinta dengan pelakon Tristan Molina yang baru berusia 25 tahun.
Namun, dia tidak sepenuhnya membuang tatu pada tubuhnya kerana prosesnya yang sangat menyakitkan. – HIBGLAM
