PELAKON Nabila Huda sekali lagi menanggung kesakitan apabila masalah tulang belakang kembali menyerang sekali gus menuntunya membatalkan segala perancangan.
Nabila atau nama lengkapnya Nabila Huda Suhaimi, 41, berkata, dia kini hanya berehat di rumah berikutan sukar bergerak dan perlu banyak berehat.
“Masa hari cuti inilah slip disc menyerang.
Orang sudah rancang aktiviti hari ini. Hendak pergi gimnasium, pergi restoran Ben’s, memasak dan basuh pakaian.
“Sekarang hanya mampu baring sahaja, tak boleh bergerak,” katanya menerusi perkongsian di platform Threads.
Sebelum itu, Nabila atau mesra disapa Abil membuat pengakuan di Insta Story bahawa sakit itu kembali atas kesilapan sendiri.
“Ini yang berlaku apabila saya terlebih menggunakan badan saya.
Saya degil, melakukan kerja berat, mengabaikan sesi fisioterapi, tidak mengendahkan amaran dan sekarang, slip disc kembali menyerang,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen ramai mendoakan agar pelakon filem Rahsia itu dapat bertahan serta sihat seperti sedia kala.
“Aduh sakitnya. Hanya yang pernah alami sahaja tahu seksanya, semoga diberi kesembuhan Abil,” tulis netizen.
Terdahulu, pada Disember 2025 Nabila mendedahkan disahkan mengalami slip disc pada bahagian L5 tulang belakangnya selepas menjalani pemeriksaan perubatan.
Demi persediaan Teater Muzikal Masmoona yang bakal dipentaskan ketika itu, dia terpaksa menolak untuk mengambil cuti sakit. – HIBGLAM
