“Saya selalu fikir mungkin umur saya tak panjang mana.”
Demikian perkongsian penyanyi Sharifah Zarina yang mengakui sering terfikir soal kematian dan berasakan hayatnya tidak lama.
Zarina atau nama sebenarnya Sharifah Zarina Wan Hassan, 44, menganggap perasaan yang hadir sebagai satu petanda agar dia berhenti mengejar urusan duniawi.
“Saya selalu cakap dengan orang, saya rasa saya tak hidup lama.
Kadang-kadang orang tanya kenapa cakap macam itu. Tak tahulah tapi dia ada rasa sendiri sebab saya dah tak kejar dunia dah,” katanya kepada HibGlam ketika sesi lawatan media ke set penggambaran Wish List, baru-baru ini.
Disebabkan kerap memikirkan soal ajal, pelantun lagu hit Langit Ke-7 itu mendedahkan berada dalam fasa tenang selepas memilih untuk tidak mengejar kemewahan mahupun perhatian dalam media sosial.
“Saya rasa ketenangan luar biasa sebenarnya. Bukan nak cakap sebab ada duit boleh pergi (Mekah).
Ketenangan yang rasakan ketika ini lain. Saya dah tak mengejar dunia sangat dah.
“Media sosial pun kadang-kadang saya rasa macam tak ada apa benda nak muat naik.
Saya dah tak hairan sangat dengan apa yang ada. Tak ada benda yang saya nak kejar atau nak tunjuk dekat orang, saya lebih rileks saja,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zarina bersyukur kerana masanya kini lebih banyak diisi dengan aktiviti pengisian rohani dan urusannya untuk ke Tanah Suci sentiasa dipermudahkan.
“Sekarang banyak masa terluang, saya boleh pergi kelas agama dan banyak kali mengerjakan umrah.
Kadang-kadang saya pun fikir, cukup ke duit nak pergi? Tapi Allah izinkan.
“Mungkin Allah dah nampak usaha saya dan rasa saya dah bersedia,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Zarina bakal tampil dengan drama terbaharu arahan Michael Ang, Wish List.
Selain Zarina, drama tersebut turut dibintangi Lorenzo Irmann, Arabella Ellen, Qi Razali, Ramona Zam Zam, Azqa Aziz dan Norazah Aziz. – HIBGLAM
