PENYANYI Nuha Bahrin menepis spekulasi kononnya dia bermasam muka dengan rakan duetnya menerusi lagu Casablanca iaitu Naufal Azrin.
Menurut Nuha atau nama lengkapnya Nuha Sakina Saiful Bahrin, 26, dia mengakui ramai yang beranggapan dia dan Naufal tidak lagi berkawan sejak penyanyi itu berkahwin.
“Ramai orang ingat saya gaduh dengan dia. Sebenarnya tidak. Mungkin orang ingat kami pernah bersama sebab di awal kemunculan lagu Casablanca dulu memang kami acah-acah buat konten bersama.
“Hubungan kami sebenarnya ibarat keluarga. Keluarga kami kenal satu sama lain,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya adakah dia cuba menjaga batas memandangkan rakan duetnya itu sudah bergelar suami orang, kata Nuha dia sentiasa melakukan perkara itu sejak dahulu lagi.
Kami dari dulu memang menjaga batas. Tidak lebih daripada rakan sekerja. Jadi tak timbul isu saya dan Naufal tidak lagi bekerjasama sebab dia sudah berkahwin. Saya mengenali isterinya, dan dia seorang yang sangat manis.
“Lagipun kami sekarang berbeza syarikat rakaman. Jadi agak susah untuk kami bekerjasama,” jelasnya.
Lama menyepi, Nuha kini muncul dengan buah tangan baharu berjudul Malam-Malam ciptaan Ezra Kong dan Sufairah Mohd.
Bercerita lanjut tentang lagu baharunya, kata penyanyi bertubuh genit itu, dia gembira dengan sambutan diberikan peminatnya.
“Alhamdulillah peminat suka dengan lagu baharu saya. Ini sesuatu yang baru untuk saya kerana belum pernah hasilkan lagu ‘fusion’ dimana ada gabungan muzik Sepanyol, Arab dan Melayu .
“Lebih mengharukan lagu ini turut diterima baik oleh generasi millennials dan generasi X. Lagu saya sebelum ini lebih digemari golongan muda,” ujarnya. – HIBGLAM
