PENYANYI Aisha Retno menyangkal tuduhan segelintir pihak yang mendakwanya tamak kerana menerima pelbagai tawaran persembahan dalam satu masa.
Menyifatkan dihujani tawaran sebagai rezeki terpijak, Aisha atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam bagaimanapun menegaskan dia hanya akan melakukan semua persembahan tersebut mengikut kemampuan diri.
Bagi saya, mengapa tidak? Nak kata tamak, tidaklah begitu sebab rezeki ada di mana-mana. Selagi mampu, saya akan galas.
“Kesibukan itu bagus dan memang kehidupan seorang selebriti.
“Selagi saya masih ada daya, miliki kesihatan mental dan fizikal yang baik, terima pelbagai tawaran persembahan bukanlah definisi tamak,” katanya kepada HibGlam selepas konsert minggu pertama Big Stage Rocketfuel, semalam.
Memiliki definisi sendiri, Aisha berkata, dakwaan tamak itu hanya terpakai apabila seseorang cuba merampas peluang milik orang lain atau menerima pekerjaan yang tidak mampu dilakukan.
Dia juga memberitahu tidak mampu untuk menghalang atau mengawal sebarang persepsi khalayak terhadapnya ketika ini namun dalam masa akan terus memperbaiki kelemahan diri.
“Bagi saya, definisi tamak adalah apabila mencuri kerja dan mencaras rezeki orang lain.
Tamak juga apabila seseorang tahu dia tidak mampu untuk melakukan namun tetap menerima sebarang tawaran. Itu maksud tamak bagi saya.
“Kalau orang kata saya tamak, biarkan mereka berkata-kata. Pada akhirnya, saya juga yang akan berada di pentas dan buat persembahan seorang diri,” katanya yang juga salah seorang juri tetap Big Stage Rocketfuel.
Dalam pada itu, dia juga bakal berdepan jadual persembahan bertindih apabila perlu menjayakan dua acara besar iaitu Latihan Pestapora Malaysia di Stadium Hoki, Bukit Jalil dan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40 di Unifi Arena yang akan berlangsung serentak pada 15 Ogos depan.
Dia juga berterima kasih kepada mana-mana pihak terutama para peminat yang bimbang tentang tahap kesihatannya apabila dilihat mengambil banyak tawaran persembahan.
“Betul, kedua-duanya adalah acara besar namun saya sudah berbincang dengan seluruh pasukan mengenai hal ini termasuk senarai lagu yang akan saya bawakan di Pestapora, tempoh persembahan dan masa rehat sebelum membuat persembahan di AJL
Sudah tentu saya akan mengambil langkah berjaga-jaga dari segi kesihatan. Mungkin saya akan lebih menjaga pemakanan, makan makanan yang lebih sihat dan mengambil beberapa langkah tambahan.
“Insya-Allah semuanya dipermudahkan dan mohon doa semua agar kesihatan sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Terima kasih kepada mereka yang risau tentang saya,” kongsinya.
Terdahulu, nama Aisha menjadi bahan bualan ramai dalam media sosial yang bimbang dengan tahap kesihatan dan persediaannya untuk dua acara serentak pada 15 Ogos nanti.
Perkara tersebut turut mengecewakan segelintir peminat yang menyifatkannya sebagai tamak kerana ‘mengaut’ tawaran pelbagai acara. – HIBGLAM
