PELAKON Datin Intan Najuwa tampil menyelar segelintir pihak yang mempertikaikan sokongan orang ramai terhadap perniagaan kopi yang diusahakannya semata-mata kerana dilihat sudah hidup dalam serba kemewahan.
Ujar Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, perniagaan dibangunkan bukan semata-mata untuk dirinya, sebaliknya turut menjadi sumber rezeki buat kakitangan dan pekerja sambilan bawah pengurusannya.
“Cara fikir apa pula macam ini? Jadi bila pemilik sesebuah perniagaan sudah kaya, tak boleh lagi sokong bisnes dia?
“Tak tahu apa yang busuk hati sangat. Saya buka kedai kopi menggunakan modal sendiri dan perniagaan ini bukan hanya tentang saya.
“Staf saya juga ada keluarga untuk ditanggung, malah beberapa pekerja sambilan bergantung kepada kerja ini bagi membiayai pengajian mereka,” balasnya dalam Instagram Story.
Tambah pelakon drama Suamiku Mr. Blind itu, tanpa disedari kewujudan premis tersebut telah membuka peluang pekerjaan kepada ramai individu.
“Alhamdulillah, sejak membuka kedai kopi ini, saya dapat memberi peluang pekerjaan kepada ramai orang.
“Jadi janganlah dengki apabila melihat orang lain menyokong perniagaan kami,” ujarnya.
Dalam masa sama, Intan menyeru orang ramai agar mendoakan kejayaan semua usahawan tanpa mengira besar atau kecil skala perniagaan mereka.
“Lebih baik kita doakan semua peniaga, sama ada kecil atau sudah berjaya, sentiasa dimurahkan rezeki.
“Apabila kita mendoakan kebaikan buat orang lain, insya-Allah kebaikan dan rezeki itu juga akan kembali kepada kita,” jelasnya.
Rata-rata netizen tampil menyokong kenyataan ibu dua anak itu selain menyifatkan setiap perniagaan wajar diberi peluang berkembang tanpa mengira latar belakang pemiliknya.
Terdahulu, seorang individu mempersoalkan tindakan segelintir netizen berlumba-lumba membeli kopi keluaran Intan dengan alasan pelakon terbabit sudah hidup mewah, selain mencadangkan orang ramai memberi sokongan kepada perniagaan kecil.
Kenyataan tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi apabila ramai berpandangan setiap perniagaan berhak menerima sokongan sekiranya menawarkan produk berkualiti.
Sejak mendirikan rumah tangga dengan usahawan Datuk Ahmad Azraf Azman pada Ogos 2023 dan dikurniakan cahaya mata sulung pada Disember 2024, Intan mempamerkan kehidupan serba mewah termasuk membelikan anak dengan barangan berjenama mewah serta mempunya beberapa pembantu rumah bagi memudahkan urusan hidup. – HIBGLAM.
